24 May 2011

Tian Chua: Saya masih MP sah

PETALING JAYA, 24 Mei — Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang berkata beliau masih seorang wakil rakyat yang sah walaupun Mahkamah Rayuan telah mengetepikan rayuannya berhubung hukuman dikenakan atas tuduhan menggigit seorang polis empat tahun lalu.
Kata Chua, beliau masih lagi anggota Dewan Rakyat kerana pihaknya dan pendakwa raya tidak pernah membuat sebarang rayuan ke atas keputusan yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi, sebaliknya hanya membuat rayuan sama ada beliau telah melakukan kesalahan sebagaimana dituduh iaitu menggigit polis.

“Saya dan pihak pendakwa tidak pernah merayu atas keputusan Mahkamah Tinggi mengenai denda dikenakan dan terhadap keputusan hakim sama ada status Ahli Parlimen harus dikekalkan atau tidak,” kata beliau pada sidang media hari ini.

Laporan media semalam menyebut Mahkamah Rayuan mengetepikan rayuan beliau yang mesra dikenali sebagai Tian Chua berhubung hukuman yang dikenakan atas tuduhan menggigit seorang anggota polis.

Chua (gambar) yang juga Naib Presiden PKR memberitahu, mahkamah menolak rayuan ekoran bantahan timbalan pendakwa raya bahawa ia difailkan selepas tempoh 14 hari yang dibenarkan oleh undang-undang.

Dalam pada itu, Chua menjelaskan pihak mahkamah telah mengurangkan denda dari RM3,000 kepada RM2,000 dan membatalkan hukuman penjara enam bulan.

Katanya, melalui penjelasan yang diterima, difahamkan hakim yang membicarakannya iaitu Hakim Datuk Ghazali Cha mengenakan tindakan tersebut bagi mengelakkan pilihan raya kecil.

“Oleh itu, bila kami rayu di Mahkamah Rayuan, kami hanya menyentuh perkara pokok iaitu sama ada saya telah melakukan jenayah atau tidak.

“Kami telah cuba untuk memberi bukti bahawa Mahkamah Majistret telah salah hukum dan telah salah dalam memeriksa semua bukti yang ada, tapi ditolak.

“Saya memang kesal kerana tidak ada peluang bagi saya. Saya tidak bersalah. Bagaimanapun, ini tidak mengganggu tugas saya sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Pertengahan Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Hakim Datuk Ghazali Cha mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 terhadap Tian Chua, yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret berhubung tuduhan mencederakan anggota polis pada 2007 dan mengantikannya denda RM2,000 atau penjara dua bulan.

Mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan seseorang Ahli Parlimen hilang kelayakan jika beliau disabitkan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan beliau tidak mendapat pengampunan. - TMI

No comments:

Post a Comment