KUALA LUMPUR, 24 Mei — DAP mengumumkan parti itu tidak akan bersetuju untuk mengadakan pilihan raya di negeri-negeri diperintah Pakatan Rakyat jikapun kerajaan pusat pimpinan BN memanggil pilihan raya umum tergempar tahun ini.
Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng (gambar) berkata jawatankuasa eksekutif pusat DAP mengambil pendirian itu pada mesyuaratnya semalam.
“Tapi jika pilihan raya diadakan tahun depan, ada kemungkinan kami akan bersetuju untuk mengadakan pilihan raya serentak,” katanya pada sidang media di sini.
Bagaimanapun Lim menegaskan keputusan parti itu akan dibuat berdasarkan perbincangan dalam Pakatan Rakyat.
Pada pilihan raya umum 2008 Pakatan Rakyat berjaya merampas Pulau Pinang, Selangor dan Kedah selain mempertahankan Kelantan di bawah pentadbiran PAS.
Pada Julai tahun lalu, Pakatan Rakyat mengumumkan untuk mengadakan pilihan raya setelah mandat lima tahun dicapai.
“Dalam soal keyakinan, ia juga mesti berdasarkan soal kepentingan awam. Juga, kami mahu menang... bukan sendirian tetapi bersama.
“Saya rasa ia adalah kritikal. Ia bukan kemenangan DAP... ia juga kemenangan Pakatan Rakyat,” kata Lim bila ditanya mengenai keyakinan parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Ditanya sama ada keputusan itu akan menyebabkan PKR kehilangan sokongan, Lim berkata populariti BN juga semakin lemah disebabkan kenaikan harga barang.
“Jika anda melihat pihak satu lagi... semua kenaikan harga barang ini tidak akan mendatangkan keuntungan kepada BN,” katanya.
Beliau berkata tujuan untuk mengadakan pilihan raya adalah semata-mata mahu memperkukuhkan kedudukan “seorang pemimpin.”
Lim dilihat merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengambil alih jawatan itu daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berundur selepas pilihan raya umum 2008.
Tambah beliau, jika pilihan raya diadakan lewat ia akan membantu Pakatan Rakyat untuk menawan semula Perak, yang dipimpin parti perikatan itu selepas 2008 namun jatuh semula ke tangan BN setahun kemudian. - TMI
No comments:
Post a Comment