16 April 2011

Siaran Radio Free S'wak pula disekat

Pengasas Radio Free Sarawak (RFS), Clare Rewcastle berkata, sekatan siaran itu berlaku semalam dan serangan itu dikesan dilakukan oleh seorang individu di Belgium.

Radio Free Sarawak (RFS), yang dipancarkan ke kawasan pedalaman negeri itu dan satu-satunya platform yang menyiarkan suara pembangkang menjelang pilihan raya negeri esok, telah disekat siarannya.

Menurut satu kenyataan, pengasas RFS, Clare Rewcastle berkata,
sekatan siaran itu berlaku semalam dan serangan itu dikesan dilakukan oleh seorang individu di Belgium.

"Dia telah mengaku diupah untuk memancarkan siaran pada masa yang sama dan dalam frekuensi yang sama dengan stesen kita," tambahnya.

Katanya, individu tersebut dibayar AS$108,000 untuk menyekat siaran RFS menjelang pilihan raya negeri Sarawak esok.

Menurut Rewcastle, kegiatan tersebut melanggar semua perjanjian penyiaran antarabangsa dan merupakan satu pencabulan oleh seorang operator yang dihormati.

Bagaimanapun, tambahnya, individu berkenaan telah mengaku kontrak tersebut memberi ganjaran kewangan yang besar kepadanya, kerana diupah sehingga bulan Disember, walaupun ianya hanya jelas dikesan dua hari sebelum pilihan raya negeri Sarawak.

Rewcastle mendakwa individu berkenaan juga turut melancarkan operasi menyekat siaran stesen radio anti-Gaddafi sebelum ini.

Menurutnya, siaran RFS disekat melalui pancaran yang dibuat melalui Rusia.

Selain serangan siber ke atas beberapa lamanweb bebas, serta organ rasmi PAS - Harakah Daily, Rewcastle melaporkan rangkaian telefon bimbit di Sarawak juga turut mengalami gangguan, menjelang pilihan raya negeri itu esok. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment