KUCHING, 15 April — Tinggal kurang 12 jam kempen pilihan raya negeri ke-10 berakhir, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan yakin mengisytiharkan Pakatan Rakyat kini meletakkan sasaran menjangkaui matlamat awal menafikan majoriti dua pertiga — merampas bumi Kenyalang daripada penguasaan BN.
Bagaimanapun, Ketua Umum Pakatan Rakyat berkata, jam-jam terakhir adalah penting bagi memastkan langkah terdesak BN menggunakan wang dan taktik-taktik kotor untuk mencuri undi dan sokongan kepada pembangkang tidak berjaya.
“Kami sangat optimistik, kami bergerak menjangkaui (matlamat menafikan majoriti dua pertiga BN), kami bergerak untuk menafikan monopoli BN di negeri ini,” kata beliau.
Pun begitu Anwar tidak mengatakan sama ada perikatan DAP-PAS-PKR itu boleh merampas keseluruhan negeri Sarawak sambil menegaskan tentang usaha ejen-ejen BN membeli undi, yang menurutnya sukar untuk ditahan.
“Kami berusaha kerja meskipun kami tahu ia adalah satu tugas yang sukar.
“Tetapi jika proses (pilihan raya) adalah bebas dan adil dari peringkat awal lagi, saya tidak ragu-ragu mengenai (peluang itu)... bagaimanapun, kami melawan keseluruhan jentera kerajaan.
“Kami prihatin dengan perkembangan sepanjang beberapa jam akan datang,” katanya lagi.
Dua hari lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengakui kejayaan BN mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah “satu bonus.”
Pengerusi BN itu berkata sasaran mereka ialah mengekalkan kerajaan negeri.
Kempen BN berhadapan dengan saingan paling sengit dalam sejarah pilihan raya negeri itu termasuk berhadapan dengan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Menurut kebanyakan pemimpin PR, kehadiran penyokong merentasi keseluruhan masyarakat yang sungguh menggalakkan adalah konsisten sejak hari pertama kempen meskipun BN mendakwa pengundi sudah bosan dengan retorik pembangkang.
Anwar berkata terdapat banyak isu menyelubungi pelbagai komuniti di negeri kaya dengan sumber semula jadi ini sehingga mereka sanggup keluar daripada situasi selesa dan ia akan membawa kesan ke atas BN pada hari pengundian esok.
Kata beliau, pengundi-pengundi kini sedar bahawa tanah mereka telah dirampas oleh “orang kaya dan ahli-ahli politik”.
Kata Anwar, pengakuan Najib kelmarin bahawa impian BN untuk menguasai majoriti dua pertiga sukar untuk dicapai adalah petanda jelas perikatan itu sudah mula goyah.
Bagaimanapun Anwar berkata pekerja-pekerja jentera PR kini berjaga-jaga dan memantau dengan dekat gerakan pesaingnya, BN. - TMI
* Beri Taib Mahmud bersara supaya dia boleh menikmati harta dan isteri muda yang jelita di penghujung usia...
No comments:
Post a Comment