08 April 2011

Serah segera kepada Peguam Negara

KUALA LUMPUR 7 April - Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar sudah mengeluarkan arahan supaya kertas siasatan kes rakaman video seks yang didakwa melibatkan individu mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim diserahkan segera kepada Peguam Negara sebaik sahaja ia dilengkapkan.

Ismail bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila ditanya adakah kertas siasatan itu sudah siap sepenuhnya dan bila ia akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Saya kena tanya pegawai saya dahulu (tahap siasatan) dan tidak pasti ia boleh diserahkan dalam tempoh terdekat ini.

"Bagaimanapun, kita sedang berusaha menyiapkannya dan saya telah mengarahkan pasukan penyiasat dalam kes ini supaya menyerahkan kertas siasatan yang siap nanti kepada Peguam Negara," katanya pada sidang akhbar semasa mengadakan lawatan ke Hospital Serdang sempena Peringatan Hari Polis Ke-204 di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Hospital Serdang, Datuk Dr. Ardi Awang; isteri Ismail yang juga Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep), Puan Sri Suriati Md. Sobri; Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Robiah Abd. Ghani dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah.

Sempena lawatan tersebut, Ismail turut menyerahkan sumbangan kerusi roda, sofa dan televisyen paparan cecair kristal (LCD) daripada PDRM kepada Hospital Serdang .

Ismail berharap lawatan tersebut mampu mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan kerjasama polis dengan pihak hospital berkenaan.

"Polis berkhidmat untuk menjaga keselamatan rakyat termasuk kakitangan hospital dan para doktor. Menariknya, ada timbal balas dalam hal ini apabila polis yang sakit dan tidak sihat akan merujuk kepada doktor untuk dirawat," ujarnya.

Sementara itu, Dr. Ardi memberitahu, Hospital Serdang mempunyai hubungan dengan PDRM kerana bertanggungjawab mengendalikan pemeriksaan terhadap suspek yang ditangkap kerana menelan dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), merawat mangsa bencana alam dan melakukan bedah siasat terhadap mangsa kes jenayah serta kemalangan. - Utusan

No comments:

Post a Comment