15 April 2011

Polis sedia siasat pengakuan Raja Petra

KUALA LUMPUR 14 April - Polis sedia menyiasat pendedahan oleh pengendali laman web antikerajaan, Raja Petra Kamaruddin iaitu terdapat individu mendalangi tuduhan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor terlibat dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, setelah meneliti laporan akhbar hari ini serta pendedahan menerusi Buletin Utama TV3 malam tadi, polis mendapati terdapat asas untuk siasatan dilakukan.

"Tetapi siasatan itu akan dilakukan jika terdapat laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak. Siasatan itu nanti akan dilakukan secara menyeluruh termasuk penelitian semula terhadap Akuan Bersumpah (SD) yang dibuat Raja Petra sebelum ini," katanya di Bukit Aman hari ini.

Raja Petra yang menghilangkan diri sejak sekian lama kerana diburu polis, muncul semalam dengan pengakuan bahawa beliau tidak pernah menuduh Perdana Menteri dan isteri terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya.

Sebaliknya, Raja Petra menegaskan, beliau berbuat demikian kerana didesak dan dipengaruhi oleh beberapa individu yang tidak mahu melihat Najib menerajui kepimpinan negara sebagai Perdana Menteri apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan.

Sementara itu, Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) membuat laporan di Balai Polis Dang Wang di sini kira-kira pukul 4.30 petang ini meminta agar siasatan segera dibuat ke atas pengakuan Raja Petra itu.

Timbalan Yang Dipertuanya, Omar Salleh berkata, JMM turut meminta pihak polis memanggil empat individu yang dinamakan oleh pengendali laman web antikerajaan itu untuk disoal siasat.

"JMM kesal dengan komplot jenayah fitnah oleh individu tertentu bagi menghalang Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri sebagaimana yang didedahkan Raja Petra," katanya.

Omar berkata, polis perlu memanggil Nik Azmi Nik Daud, John Pang, Din Merican dan Leftenan Kolonel Azmi Zainal Abidin yang didakwa oleh Raja Petra sebagai individu yang memberi maklumat kepadanya kononnya isteri Perdana Menteri berada di tempat kejadian semasa Altantuya dibunuh. - Utusan

* Wah, lajunya tindak balas polis. "Seperti anjing dapat tulang"...

No comments:

Post a Comment