18 April 2011

ADUN Pelabuhan Klang Bercerai Talak Satu

KLANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya, Ramizah Mazlan di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Isnin.

Badrul Hisham, 51, dan Ramizah, 40, mendirikan rumah tangga pada 31 Julai 1993 dan dikurniakan lima anak iaitu Dzarul Ashroff, 17; Dzety Ashikin, 15; Dzureen Arysha, 11; Dzaleen Aryffa, 10, dan Dzarif Ashakimi, 5 tahun.

Perceraian tersebut dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Abdul Malek Soleh, sedangkan pada asalnya prosiding itu ditetapkan sebagai sambung bicara permohonan fasakh yang difailkan oleh Ramizah.

Bagaimanapun, peguam syarie Mahyuddin Md Zahari memberitahu, Badrul Hisham bersedia untuk melepaskan Ramizah, yang turut bersetuju untuk menarik semula dakwaan dan keterangan yang telah dikeluarkannya pada perbicaraan lalu.

Pada prosiding itu, Ramizah yang pernah bekerja sebagai penjaga stor diwakili oleh peguam syarie Norrasyada Osman.

Badrul Hisham memenangi kerusi Pelabuhan Klang pada Pilihan Raya Umum 2008 menerusi tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagaimanapun membuat keputusan untuk menjadi ADUN Bebas selepas keluar daripada parti tersebut pada 29 Oktober 2009.

Beliau akhirnya menjadi ahli UMNO secara rasmi apabila mengisi borang keahlian pada Mei 2010.

Pergolakan perkahwinan Badrul Hisham mula menjadi perhatian apabila Ramizah memfailkan permohonan fasakh mengikut Seksyen 52, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Kes tersebut dibicarakan kali pertama pada 28 Jun 2010 dan semasa itu Ramizah diwakili oleh peguam syarie Ahmad Nazib Johari yang merupakan calon PKR pada Pilihan Raya Sarawak baru-baru ini.

Berdasarkan penyataan tuntutannya yang dikemukakan di mahkamh sebelum ini, Ramizah mendakwa rumah tangga mereka sering bergolak disebabkan oleh sifat Badrul Hisham yang dikatakan berkawan dengan perempuan lain dan cuai dalam tanggung jawabnya sebagai suami.

Ramizah juga mendakwa mereka telah tinggal berasingan sejak 4 Januari 2010 ekoran berlaku salah faham selepas dia mempersoalkan tindakan Badrul Hisham. - Mstar

No comments:

Post a Comment