08 March 2011

Zaid Ibrahim, Speaker DUN Selangor, Theresa Kok, 'Tukar Tiub' di pelancaran radio durianFM.com

Pengacara rancangan "Say Hi to Malaysia" yang "dipancung" pada Ogos 2010, Jamaluddin Ibrahim kini kembali ke ruang udara melalui saluran internet, dengan DurianFM.com. Stesen radio yang berpengkalan di laman internet ini menyasarkan audien berbilang kaum, dengan tiga bahasa pengantar, iaitu bahasa Cina, Inggeris dan Malaysia.

Ketika DurianFM.com dilancarkan pada jam 3.08 petang, Jamaluddin Ibrahim (gambar kanan) menyifatkan ia sebagai detik yang terharu, sambil merakamkan penghargaannya kepada mereka yang menjayakan radio internet ini. "Akhirnya kita berjaya menubuhkan stesen radio internet ini," beliau berjanji untuk mempromosi kebebasan bersuara menerusi saluran ini.

Berkata kepada wartawan selepas upacara perlancaran, pengasas DurianFM.com Jamaluddin Ibrahim menjelaskan bahawa nama "durian" dipilih kerana sifat tempatannya (local), lebih-lebih lagi bunyinya hampir sama ketika diungkapkan dalam pelbagai bahasa.

Berbeza dengan stesen radio tradisional, stesen radio internet memerlukan kos yang lebih rendah. Jamaluddin menambah, penubuhan radio internet tidak memerlukan lesen daripada Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi (MCMC), lantas membenarkan ruang bersuara tanpa tapisan dan sekatan, selaras dengan slogannya, "Tiada Tapisan, Tiada Sekatan".

Apabila ditanya sama ada beliau berdepan dengan "tekanan politik" sepanjang penubuhan radio internet ini, Jamaluddin Ibrahim berkata, "Tiada, tiada. Setakat ini tiada. Saya berharap tiada (tekanan) pada masa depan, memandangkan penubuhan radio sedemikian adalah dibenarkan di bawah undang-undang."

Beliau memilih 8 Mac sebagai tarikh perlancaran radio internet ini untuk memperingati "tsunami politik" yang berlaku tiga tahun lalu. Untuk Jamaluddin Ibrahim, 8 Mac adalah tanda di mana rakyat bangkit untuk menggunakan hak mereka, dan beliau berharap ia diteruskan. Jamaluddin juga berharap agar ruang ini digunakan sebagai platform untuk perdebatan pandangan daripada latar belakang politik yang berbeza.

Radio internet ini dilancarkan oleh speaker DUN Selangor Teng Chang Khim, bersama EXCO Kanan Selangor Teresa Kok dari DAP. Turut hadir untuk memeriahkan upacara perlancaran termasuklah Timbalan Menteri Kewangan Donald Lim (gambar atas, kiri), Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah, Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Zaid Ibrahim, EXCO Selangor Elizabeth Wong, ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, ADUN Subang Jaya Hannah Yeoh, Ketua Pemuda Gerakan Lim Si Pin, dan wakil daripada MCA, selain aktivis sosial seperti Hishamuddin Rais.

Ketika diundang sebagai tetamu untuk rancangan tadi, Teng Chang Khim diminta untuk mengaitkan kebebasan dengan durian. Sambil berseloroh beliau berkata, "Durian bagaikan kebebasan. Kamu mungkin tercedera, dan berdarah seandainya tidak tahu cara untuk membuka durian. Kita perlu tahu cara untuk membuka durian, supaya kita mampu menikmati buahnya (kebebasan) tanpa berdarah"

Ruang semakin sempit dalam media elektronik

Sebelum ini, Jamaluddin Ibrahim terpaksa digugurkan dari rancangan call-in pada pagi 19 Ogos 2010, berikutan "tekanan politik" yang kononnya datang daripada majikannya, iaitu MCA. Rancangan tersebut didakwa "mengutarakan hujah yang tidak sesuai dan bias", sehingga disiasat Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi (MCMC).

Susulan daripada kejadian tersebut, Star Rfm Sdn. Bhd mengambil langkah untuk menggantung jawatan (suspend) Ketua Pegawai Eksekutif (CEO 98.8) Wong Lai Ngo, dan Pengarah Program (Director of Programming 98.8) Tan Chia Yong, sebelum memecat mereka kemudiannya.

Antara kejadian yang berlaku dalam media elektronik pada ketika itu termasuklah perletakan jawatan penerbit rancangan NTV7, Joshua Wong sebagai protes kerana self-censorship yang keterlaluan. Chou Z Lam, penerbit rancangan yang dihentikan RTM sebelum tempoh perkhidmatan tamat mengikut kontrak, dan Tan Ean Nee yang tidak diperbaharui kontraknya oleh RTM.

Kejadian bersiri ini dibaca sebagai tekanan terhadap media elektronik, yang semakin sempit ruang kebebasannya. Satu gerakan bergelar "1 Muted Malaysia" telah diadakan, dengan aktiviti perarakan dan forumnya, sebagai usaha untuk menyedarkan orang awam terhadap pencabulan kebebasan bersuara pada zaman pemerintahan PM keenam, Najib Razak. - Merdeka Review

Listen Duria FM

No comments:

Post a Comment