TERLALU ramai penyanyi nasyid dari luar negara yang berjaya meraih perhatian para peminat nasyid tempatan termasuklah Yusof Islam yang dulunya dikenali Cats Steven, tetapi ia belum mampu mengatasi populariti Maher Zain.
Penyanyi kelahiran Labenon itu membuktikan dia adalah penyanyi nasyid antarabangsa yang bukan sahaja mempunyai gaya pembawakan muzik tersendiri, malah secara tidak langsung menyatukan peminat nasyid di negara ini.
Senario itu dapat dilihat apabila dia berjaya menarik hampir 9,000 peminatnya pada konsert Maher Zain Live In Concert baru-baru ini yang disaksikan peminat daripada pelbagai lapisan fahaman politik, warna kulit dan usia.
Semuanya gara-gara mahu menghayati lagu-lagu nasyid Maher yang kuat disulami elemen muzik R&B dan world music tetapi pada masa sama tidak ketinggalan menyelitkan unsur keislaman di dalamnya seperti berjudul Insha-Allah.
Bukan setakat para peminat daripada segenap lapisan masyarakat, malah penyanyi yang berhijrah bersama keluarganya ke Sweden pada usia lapan tahun itu juga berjaya menyatukan ramai penyanyi lain di pentas konsert tersebut.
“Saya amat bersyukur kepada Allah kerana Islam telah menyatukan kita pada malam ini. Bukan setakat saya seorang tetapi malam ini saya juga berkongsi pentas dengan penyanyi nasyid lain seperti Mesut Kurtis dari Macedonia.
“Begitu juga dengan Irfan Makki dari Kanada dan Inteam dari Malaysia. Ia menunjukkan Islam itu ada di mana-mana juga di seluruh dunia dan kita bersatu malam ini kerana irama nasyid,” katanya pada konsert malam itu.
Konsert yang mengenakan tiket berharga RM50 hingga RM200 itu dianjurkan sempena sambutan hari keputeraan Nabi Muhammad SAW pada 15 Februari di mana konsert tersebut pula diadakan pada 25 dan 26 Februari lalu.
Maher yang muncul dengan lagu sulungnya berjudul Allahuakbar berjaya menggamatkan ruang Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor tempat berlangsungnya konsert anjuran Inteam Records, Fero dan Awakening Entertainment itu.
Sepanjang persembahannya yang diiringi 11 pemuzik yang diketuai Eddie Marzuki itu, Maher juga banyak berkomunikasi dengan para penonton di mana ia berkisar tentang perasaannya dalam isu-isu berkaitan moral dan kemanusiaan.
Sebagai contohnya, menerusi lagu berjudul Freedom, penyanyi nasyid kontemporari itu mengaitkan soal keadilan sejagat yang sedang meletus di mana-mana termasuklah mengaitkan dengan apa yang berlaku di Mesir baru-baru ini.
“Saya menulis lagu Freedom ini dalam masa seminggu. Lagu ini tentang kebebasan sejagat di mana banyak penentangan ke atas ketidakadilan sedang berlaku misalnya di Libya dan Mesir baru-baru ini untuk renungan kita bersama.
“Lagu ini memberi banyak inspirasi kepada saya untuk terus menyampaikan mesej-mesej murni melalui lagu-lagu nasyid yang bukan sahaja mudah dihayati tetapi juga mempunyai banyak mesej murni di sebaliknya,” ujarnya.
Kemunculan Maher di atas pentas pada malam itu paling gamat apabila dia menyanyikan lagu popularnya berjudul Insha Allah sebanyak tiga kali termasuklah dalam tiga versi iaitu Arab, Inggeris dan juga bahasa Melayu.
Tidak bersendirian
Maher yang muncul dengan album sulungnya berjudul Thank You Allah pada Mac 2010 turut tidak ketinggalan menyanyikan lagu-lagu popularnya yang lain seperti Always Be There, The Chosen One, Barakallah dan Open Your Eyes.
Pada konsert selama dua jam itu, Maher tidak bersendirian sebaliknya tiga artis undangannya itu turut menghiburkan penonton yang hadir, kebanyakkannya bersama-sama anggota keluarga masing-masing.
Kumpulan Inteam menjadi pembuka tirai konsert dengan menyanyikan lagu-lagu popular mereka secara medley berjudul Dia Muhammad, Kasih Kekasih, Setinggi Syurga, Nur Kasih dan Rabiatul Adawiyah.
Sementara penyanyi undangan lain seperti Irfan Makki tidak banyak menyanyikan lagu seperti berjudul Bismillah, Mother dan Waiting For The Call sebelum kemunculan Maher yang paling dinanti-nantikan para peminatnya malam itu.
Selain penonton biasa, ramai juga artis tanah air seperti Fazli Zainal, Raja Azura dan Dayang Nurfaizah yang tidak mahu ketinggalan menonton konsert penyanyi Lebanon yang mempunyai lebih sejuta peminat Malaysia di laman Facebooknya.
Amy Search yang turut hadir bersama isterinya, Norish merupakan antara penyanyi tempatan yang bukan sahaja kagum dengan kelunakan lagu-lagu nyanyian Maher Zain tetapi juga popularitinya yang mendadak itu.
“Bagi saya Maher Zain begitu cepat popular di Malaysia biarpun baru tampil dengan album pertama. Saya memang meminati lagu-lagu nyanyian beliau. Sebab itu, saya sanggup datang menonton konsert ini walaupun sibuk.
“Saya tidak terkilan kerana tidak menonton konsert Iron Maiden di Singapura pada 15 Februari lalu kerana menghormati sambutan Maulidur Rasul yang jatuh pada tarikh itu. Tetapi saya datang ke konsert ini kena pada masanya.
“Kehadiran saya kerana mahu menyokong konsert ini yang mempunyai banyak nilai murni selain tidak mahu ketinggalan melihat sendiri konsert Maher yang semakin popular ketika ini,” katanya semasa ditemui Hits sebelum konsert itu bermula. - Utusan
No comments:
Post a Comment