02 March 2011

Pengarah SPR meninggal

TEMERLOH: Berbaki enam hari menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, warga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gempar apabila menerima berita kematian Pengarah SPR negeri, Datuk Ismail Mohd Yusoff.

Ismail, 57, dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Sultan Ahmad Shah, di sini, kira-kira jam 7.30 pagi semalam selepas beliau rebah ketika berada di Hotel Seri Malaysia di bandar ini, akibat serangan jantung dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3.15 petang.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, sepanjang 20 tahun berkhidmat dalam SPR, arwah amat berdedikasi dengan tugasnya.

“Arwah sentiasa memberi perhatian serius dalam tugas dipikul dan sebolehnya beliau mahu melaksanakan tugas diamanahkan dengan sempurna tanpa masalah.

“Bagaimanapun, PRK DUN Kerdau tetap akan berjalan seperti dirancang kerana semua keperluan sudah diatur,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Hal Ehwal Felda, Datuk Tan Aminuddin Ishak berkata, beliau mengenali arwah sejak tiga tahun lalu dan menyifatkannya sebagai seorang yang kuat bekerja dan sentiasa mahu yang terbaik dalam melaksanakan tugas selain suka membantu orang.

“Sepanjang pengetahuan saya, kesihatan arwah sebelum ini memang tidak berapa baik, mungkin disebabkan beliau terlalu kuat bekerja,” katanya. - HMetro

No comments:

Post a Comment