10 March 2011

Mangsa banjir dapat kereta

JEDDAH: Yayasan Alwaleed bin Talal semalam mendermakan 1,000 kereta Kia kepada mangsa banjir yang terjejas teruk dalam bencana 26 Januari lalu.

Yayasan dipengerusikan Putera Alwaleed Talal itu memeterai persetujuan dengan pengeluar kenderaan dari Korea Selatan itu selepas mendapati kenderaan berkenaan mudah diselenggarakan.

Turut didermakan yayasan itu, lebih 10,000 barangan keperluan rumah pada 19 Februari lalu.

Alwaleed berkata, menjadi tanggungjawab yayasan berkenaan membantu mana-mana pihak yang mengalami bencana.

“Tambahan pula rakyat Jeddah sentiasa dekat di hati kami,” katanya.

Setiausaha Agung Yayasan Alwaleed bin Talal, Muna Abusulayman, berkata pihaknya berbangga kerana diberi peluang memberi sumbangan kepada pembangunan semula mangsa banjir dan bandar raya Jeddah.

Kata Muna, sumbangan kepada mangsa banjir itu dibuat selepas pihaknya menjalankan kajian menyeluruh terhadap cara terbaik membantu mereka.

“Seramai 300 sukarelawan bertugas mengagih-agihkan pelbagai peralatan, termasuk mesin basuh pakaian, periuk nasi elektrik, peti sejuk dan permaidani kepada mangsa banjir,” katanya.

Alwaleed adalah anak saudara pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah dan digelar majalah Time sebagai Warren Buffett Arab kerana kekayaannya.

Sehingga Mac tahun lalu, kekayaan bersih Alwaleed dianggarkan bernilai RM59 bilion, menjadikan dia orang ke-19 terkaya di dunia dalam senarai dikeluarkan majalah Forbes. - AN

No comments:

Post a Comment