24 March 2011

Luhur seni Najwa

SEPATUTNYA hari bersejarah itu diraikan dengan penuh riang dan bahagia sekali. Namun, entah mengapa hati wanitanya terusik dan tanpa disedari air mata mengalir ke pipi gebunya itu.

“Saya mula menyanyi sejak berusia tujuh tahun. Sejak daripada itu, saya menyimpan angan-angan untuk memiliki album sendiri. Lalu, apabila dapat memegang dan melihat album ini berada di tangan saya, serta-merta saya menjadi sebak.

“Alhamdulillah, segala perancangan dan perjalanan yang saya lalui selama ini boleh dikatakan hampir lengkap dengan terhasilnya album ini,” ujar Najwa Mahiaddin atau lebih popular dengan nama pentas, Najwa sambil menyeka air matanya.

Penyanyi dan komposer berbakat besar itu berkata demikian pada majlis pelancaran album sulungnya, Innocent Soul yang berlangsung di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Malah, gadis berusia 24 tahun ini juga tidak mahu masyarakat terus melihat status dan latar belakangnya sebagai anak kepada seorang yang ternama di negara ini sebagai satu halangan untuknya terus berkarya.

Memang benar. Najwa boleh dikategorikan sebagai seorang yang cukup bertuah kerana dia memiliki segala-galanya. Tetapi tuahnya itu berganda kerana dia dikurniakan dengan bakat yang cukup istimewa menerusi vokalnya yang mantap.

Sejak dia muncul dengan lagu Kau Yang Punya hasil kolaborasinya dengan Malique, ramai yang mula mencari empunya suara sakti yang mengalunkan lagu tersebut.

Ternyata, ramai yang kagum dengan kehebatan vokalnya itu lalu meletakkan nama Najwa sebagai antara bakat baru yang wajar diberikan perhatian dan mampu untuk pergi jauh di dalam industri.

Malah, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza sendiri pernah meminta lagu daripada Najwa untuk dimuatkan dalam album terbarunya namun, ia ditolak dengan baik oleh Najwa atas alasan masih belum bersedia.

“Saya masih muda dan banyak lagi yang saya mahu belajar dalam industri ini. Insya-Allah, kalau masanya sudah tiba dan saya benar-benar sudah bersedia untuk menulis lagu untuk Siti dan penyanyi lain, saya akan melakukannya,” katanya tanpa selindung.

Najwa menceburi bidang seni kerana kecintaan yang mendalam terhadap muzik yang sudah menjadi darah dagingnya sejak kecil lagi. Atas alasan itu, Innocent Soul mempunyai signifikan tersendiri dalam hidupnya.

Setiap pendapatan yang diterima menerusi persembahan yang dijayakan selama meniti perjalanan seninya, disimpan sebahagiannya untuk melahirkan album dengan hasil titik peluhnya sendiri.

“Saya harus akui bukan mudah untuk melahirkan Innocent Soul kerana saya perlu memantapkan diri dan memperkenalkan nama saya terlebih dahulu.

“Saya bertuah dan terharu kerana masyarakat dapat menerima bakat saya. Apa yang saya harapkan Innocent Soul mampu memberikan gambaran jelas tentang siapa diri saya yang sebenar,” ujar Najwa yang cukup bijak berbicara ini lagi.

Album Innocent Soul yang memuatkan 10 buah lagu berbahasa Inggeris itu diterbitkan oleh Najwa selaku penerbit eksekutif menerusi syarikatnya, Nada Biru Muzik Sdn. Bhd. dan diedarkan oleh Warner Music Malaysia.

Single pertamanya, Sweet October dan terbaru, Got To Go yang merupakan komposisi sepenuhnya oleh empunya diri itu mula meraih perhatian meluas dan sedang mendaki carta lagu-lagu popular di seluruh negara.

Kerja-kerja penerbitan dan rakaman album tersebut mula dijalankan sekitar setahun lalu di Jakarta, Indonesia dan juga Malaysia.

Malah, Najwa mempunyai alasan sendiri mengapa dia sanggup terbang ke Tanah Jawa itu semata-mata hendak memastikan ‘bayi’ sulungnya itu menepati piawaian serta berada di tahap kualiti yang tinggi.

Atas alasan itu juga, dia tekad menggunakan khidmat komposer dan penerbit album, Widi Puradiredja yang juga salah seorang ahli anggota kumpulan popular Indonesia, Maliq & D’Essentials.

“Bukan tidak percaya dengan bakat tempatan dan jauh sekali untuk meminggirkan mereka, tetapi saya mahu memperjuangkan muzik neo-soul yang masih lagi baru dalam pasaran muzik tempatan.

“Saya percaya dengan kredibiliti Widi kerana muzik yang mereka perjuangkan hampir sama dengan genre muzik saya. Jadi, kesefahaman dan keserasian sudah terbentuk di situ lalu memudahkan rakaman serta penerbitan album ini.

“Saya tetap tidak melupakan anak tempatan apabila menggunakan khidmat Jason Voo dan Rozhan Razman untuk dua buah lagu dalam album ini,” katanya yang menulis kesemua lirik lagu di dalam album itu. - Utusan





* Muhyiddin tak kecil hatikah, nama dia tak ditulis...

No comments:

Post a Comment