BACHOK: “Saya tidak menyangka sikap Noraini yang begitu teruja bercerita mengenai kematian rupa-rupanya petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” kata Hasiah Abdul Majid, 55, ibu kepada Noraini Sidek, 19, yang maut dalam kemalangan motosikal, kelmarin.
Dalam kejadian jam 3 petang di Batu 19 Kampung Badak, di sini, pelajar tingkatan enam atas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badak itu, mati di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala selepas motosikal dinaiki bersama rakannya, Norfizlah Mohamad, 19, untuk pulang ke rumah, dilanggar motosikal lain. Menurut Hasiah, dua hari sebelum kejadian Noraini bertanya mengenai kematian ketika makan petang bersama keluarga di di Kampung Titian Sah, Kampung Pantai Baru, di sini.
“Antara ditanya Noraini ialah petanda ajal seseorang dan ketika itu kami menganggap ia hanya gurauan apabila dia menyatakan jika sudah tiba ajalnya, dia turut meminta dikebumikan di sebelah kubur bapanya, Sidek Awang, yang meninggal dunia empat tahun lalu.
“Dua hari selepas itu Noraini maut dalam kemalangan itu ketika pulang dari sekolah yang jaraknya kira-kira dua kilometer dari rumah,” katanya yang ditemui di rumahnya, semalam.
Menurut Hasiah, Noraini juga sempat meminta dibelikan baju baru untuk dipakai bagi mengikuti kelas tambahan di sekolahnya.
“Oleh kerana wang tidak mencukupi saya hanya sempat membeli sehelai untuk diupah jahit. Dia sempat memakai baju baru itu buat kali pertama dan terakhir,” katanya yang masih sedih dengan kejadian itu.
Bagi Hasiah, anak keempat daripada tujuh beradik itu amat bertanggungjawab dan bercita-cita memasuki universiti tahun depan.
“Dia memang bercita-cita belajar sampai ke universiti tetapi kerana sumber kewangan kami sekeluarga tidak mencukupi, dia melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Dia tidak putus asa dan mahu memasuki universiti selepas tamat tingkatan enam,” katanya.
Rakannya hanya cedera ringan dalam kejadian itu dan jenazah Noraini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mundu, Repek, jam 10 malam hari kejadian.
Sementara itu, Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam/Trafik Negeri, Superintendan Azli Md Noor, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa menaiki motosikal bersama rakannya menyeberang jalan dari kanan ke kiri untuk pulang ke rumahnya berhampiran simpang tiga di Kampung Pantai Baru. - Mymetro
* Motosikal pembunuh nombor 1 di Malaysia. Atas alasan ini, wajar motosikal diharamkan dan ia langsung tidak mustahil...
No comments:
Post a Comment