05 March 2011

‘Jawab dulu’

TEMERLOH: Jawab dulu sebelum menuduh yang bukan-bukan. Itulah peringatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa Ummi Hafilda Ali dibayar Barisan Nasional (BN) untuk berceramah di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau.

“Anwar tidak menjawab apa dibangkitkan Ummi tetapi beliau menuduh Ummi dibayar BN. Siapa Yang bayar?” kata Muhyiddin ketika mengulas mengenai dakwaan Anwar, BN sengaja menjemput Ummi Hafilda berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kerdau.

Muhyiddin berkata BN tidak pernah membayar apa-apa kepada Ummi Hafilda yang membongkar rahsia Anwar ketika berkempen, malam kelmarin.

“Beliau (Anwar) sepatutnya menjawab semua pertuduhan Ummi Hafilda dan bukannya mengalih tumpuan dengan berkata, Ummi Hafilda dibayar BN. Kita juga tidak menjemput beliau untuk berceramah,” katanya.

Kelmarin, Ummi Hafilda yang juga ahli perniagaan datang ke Kerdau untuk memberi penjelasan berhubung apa yang beliau tahu mengenai Anwar dan abangnya, Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR.

Malam kelmarin, beberapa ceramah Anwar diadakan bersebelahan atau bertentangan dengan lokasi ceramah Ummi Hafilda dan Muhyiddin pantas berkata, Anwar sepatutnya memberikan penjelasan sekiranya menganggap apa yang diperkatakan Ummi Hafilda itu fitnah terhadap dirinya.

“Dia (Anwar) sudah ada di situ dan dia mengatakan itu fitnah, jadi jangan kaitkan dengan BN. Kita pun tidak jemput Ummi Hafilda tetapi dia datang untuk memberi penerangan. Dia ada pengalaman, sejarah dan pertalian darah dengan Azmin, jadi apa yang disebutkannya pastinya ada asas yang Ummi (Hafilda) sendiri lebih tahu,” katanya.

Dalam ceramahnya, Ummi Hafilda berkata, tindakannya hadir di Kerdau untuk membersihkan nama baiknya yang dirosakkan Anwar.

Sementara itu, ketika menjawab tuduhan pembangkang yang mendakwa kerajaan BN ‘merasuah’ penduduk Kerdau, Muhyiddin berkata, segala projek pembangunan dilaksanakan di Kerdau ketika ini bagi memenuhi tanggungjawab kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan semua pihak.

“Semua yang kerajaan buat untuk kebaikan dan kebajikan am, bukan individu. Saya tidak fikir ia ditakrifkan sebagai rasuah,” katanya.

Pada majlis perjumpaan dengan penduduk Kampung Badol, petang semalam, Muhyiddin meluluskan peruntukan RM500,000 bagi membina masjid baru di kampung berkenaan. - Mymetro

* Anwar bukan 'kurang akal' macam Muhyiddin untuk menjawab sesuatu yang sudah terjawab belasan tahun dahulu. Anwar wajar tumpukan 'kezaliman' Umno terhadap rakyat semasa ini yang meresahkan rakyat kebanyakan dengan ekonomi mereka yg menekan, kadar jenayah yang tiada kemampuan Umno menyelesaikan sehingga rakyat hidup dalam ketakutan...

No comments:

Post a Comment