KOTA KINABALU: Dua penjenayah yang dipercayai ketakutan selepas menembak mati seorang pemandu teksi beberapa hari lalu, akhirnya maut ketika berbalas tembak selepas tempat persembunyian mereka diserbu polis di Jalan Sungai Batang Batu 10, Sandakan, di sini, kelmarin.
Difahamkan, kedua-dua penjenayah yang belum dikenal pasti identitinya itu bersembunyi di sebuah pondok ladang sawit berhampiran tapak pembinaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), kira-kira tujuh kilometer dari lokasi mereka melakukan pembunuhan itu.
Dalam serbuan kira-kira jam 2 petang, kedua-dua suspek berusia 30-an gagal melarikan diri selepas lokasi persembunyian mereka dikesan dan dikepung polis.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, sebaik menyedari tempat persembunyian mereka dikepung polis, dua penjenayah terbabit melepaskan tembakan terhadap polis yang mengarahkan mereka menyerah diri.
Beliau berkata, polis membalas tembakan itu menyebabkan kedua-duanya maut. “Sebelum itu, polis yang curiga dengan kehadiran individu di dalam rumah itu mengarahkan penghuninya keluar, tetapi arahan itu dibalas dengan tembakan oleh seorang daripada lelaki terbabit.
“Keadaan itu menyebabkan polis tidak memiliki pilihan sebelum berlaku tembak menembak antara suspek dengan polis menyebabkan dua penjenayah itu maut,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Beliau berkata, polis yang melakukan pemeriksaan di rumah itu menemui sepucuk pistol jenis Caliber45 dipercayai sejata sama digunakan suspek untuk membunuh pemandu teksi pada 28 Februari lalu.
Malah, katanya, siasatan mendapati peluru digunakan suspek sama dengan peluru yang digunakan untuk membunuh pemandu teksi berkenaan.
“Polis akan menghantar barang bukti yang diperoleh termasuk satu telefon bimbit dipercayai milik pemandu teksi ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut,’’ katanya.
Sebelum ini, seorang pemandu teksi ditemui mati dengan dua kesan tembakan di leher dan dagu berhampiran teksinya, pada 28 Februari lalu.
Mangsa yang dikenali sebagai Junaidi Saman, 53, ditemui dalam keadaan tertiarap oleh pengawal keselamatan tapak pembinaan Universiti Malaysia Sabah dengan muka berlumuran darah.
Hamza berkata, polis akan terus menjalankan siasatan walaupun suspek kes pembunuhan pemandu teksi itu sudah ditembak mati.
“Polis masih menjalankan siasatan dari pelbagai sudut, termasuk mengesan motif pembunuhan pemandu teksi itu, termasuk wujud suspek lain dalam pembunuhan ini,” katanya. - Mymetro
No comments:
Post a Comment