SEBAIK sahaja program Raja Lawak musim kelima melabuhkan tirai, para peminat masih terus dapat menyaksikan adegan yang lebih mencuit hati.
Kali ini, menerusi Astro Warna (saluran 132), sebuah program lawak baru diperkenalkan.
Ia diberikan nama Maharaja Lawak bakal menggegarkan penonton dengan telatah lucu yang terdiri daripada peserta bekas juara dan finalis Raja Lawak.
Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani memberitahu, Maharaja Lawak masih menggunakan konsep hampir serupa dengan lima musim Raja Lawak sebelum ini tetapi ia menghimpunkan barisan pelawak yang sudah mempunyai peminat tersendiri.
“Kami percaya program ini bakal mendapat sambutan paling hangat dan ditunggu-tunggu kerana hanya bekas juara dan finalis Raja Lawak yang layak menyertainya.
“Setiap peserta yang sudah berpengalaman dalam komedi akan berentap sekali lagi untuk berebut gelaran juara Maharaja Lawak dengan habuan wang tunai RM300,000, tempat kedua RM200,000 dan ketiga pula RM100,000,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran MRL di Bora Asmara, Sungai Penchala, Selangor baru-baru ini.
Program yang akan ditayangkan pada setiap hari Jumaat bermula 1 April ini akan menemui penonton pada pukul 10 malam terdiri daripada Yus & Tauke, Johan & Zizan, Nabil, XN3, Sepah, Jihan, Amir, Kecik & Idlan dan Alex.
Kelainan yang ditonjolkan oleh Maharaja Lawak ialah nasib para peserta bukan lagi ditentukan sepenuhnya berdasarkan pemarkahan seratus peratus undian penonton melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Sebaliknya, setiap peserta akan diadili oleh penonton sebanyak 50 peratus manakala selebihnya akan diadili oleh juri tetap. Seperti biasa peserta yang mendapat markah paling rendah bagi setiap minggu akan disingkirkan.
Tambah Nizam, Maharaja Lawak yang akan bersiaran selama 10 minggu turut menyaksikan kritikan hebat daripada juri tetap yang berpengalaman dalam dunia komedi.
“Biasanya, program Raja Lawak tidak memaparkan kritikan yang pedas daripada juri mungkin kerana setiap peserta masih baru dan tidak ada pengalaman.
“Tetapi kali ini, para peserta perlu menadah telinga dan terima dengan hati terbuka setiap kritikan hebat jika persembahan mereka tidak mencapai tahap sebagai pelawak yang sudah dikenali ramai,” jelasnya.
Dalam pada itu, Nizam turut memberi kelonggaran kepada peserta sama ada secara berkumpulan atau solo seperti Jihan, Amir, Alex dan Nabil.
Antara peserta yang telah membuat keputusan untuk bergabung ialah pasangan pelawak terkenal Johan & Zizan.
Sudah dikenali umum apabila sering kali muncul bersama sebagai penghibur penonton, Johan & Zizan memilih untuk bergabung idea kerana mereka lebih selesa dengan cara sebegitu.
“Sebelum ini pun, kami banyak kali tampil berdua kerana keserasian yang dimiliki dapat membantu antara satu sama lain. Saya pernah buat persembahan sendirian tetapi kalau ada Johan ia lebih kuat.
“Lagipun, kami ingin bawa nama Jozan ke tahap lebih tinggi,” terang Zizan.
Perkara itu turut diakui oleh rakan lawaknya Johan yang menyifatkan mereka mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri.
Ditanya mengapa tidak memilih peserta lain untuk bergabung tenaga?
“Kalau pilih peserta lain mungkin kami mengambil masa yang panjang untuk memahami antara satu sama lain. Misalnya dengan Zizan, saya dah tahu cara dia membuat lawak.
“Masing-masing sudah kenal dan tahu apa diperlukan untuk membuat penonton terhibur dengan lawak jenaka yang dipersembahkan,” terang Johan.
Sementara itu, lain pula dengan Jihan yang menyifatkan dirinya mampu untuk berdiri sendiri apatah lagi dia merupakan peserta wanita tunggal.
“Saya tidak mahu bergabung bukan kerana tidak percaya dengan peserta lain tetapi ia lebih ke arah untuk memuaskan diri sendiri.
“Kalau kalah tidaklah akan rasa bersalah. Nanti kalau kalah masing-masing tuduh menuduh,” katanya sambil tergelak kecil. - Kosmo
No comments:
Post a Comment