03 March 2011

Gaddafi beri amaran keras

TRIPOLI - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam memberi amaran keras kepada Barat agar tidak campur tangan dengan menyokong penentangan terhadapnya.

Pemimpin berkenaan menyatakan ribuan orang akan mati jika Barat mencampuri urusan negara tersebut dengan membantu gerakan penentang terhadap pemerintahannya.

Ucapannya itu dibuat pada satu majlis bagi memperingati gerakan rakyat di sini semalam.

Beliau membuat ucapan selepas askar-askar yang setia kepada Gaddafi bertempur dengan para penentang pemerintahannya di bandar Brega, timur Libya.

Menurut laporan stesen televisyen Al-Jazeera, bandar Brega itu dikuasai oleh para penentang pemerintah Gaddafi.

Stesen televisyen Al-Arabiya menyatakan sebuah lapangan terbang di Brega sudah jatuh ke tangan para penyokong Gaddafi.

Bagaimanapun, Al-Jazeera melaporkan beberapa buah pesawat mengebom bandar Ajdabiyah selepas para penentang Gaddafi menguasai sebuah pangkalan tentera.

Dalam ucapan itu, Gaddafi menegaskan, campur tangan Barat hanya akan mencetuskan 'peperangan dahsyat' yang akan mengorbankan beribu-ribu nyawa rakyat Libya.

Gaddafi sekali lagi menyalahkan pergerakan Al-Qaeda kerana mencabar pemerintahan kuku besinya hampir 42 tahun.

Beliau berkata, Al-Qaeda menguasai tanah air Libya dan hasil minyak negara itu. Gaddafi berikrar akan berjuang bermati-matian untuk menghalang niat jahat tersebut.

Dalam ucapannya, Gaddafi menafikan berlakunya demonstrasi aman di Libya sejak rakyat mula bangkit menentang pemerintahannya pada 15 Februari lalu.

Menyentuh mengenai industri minyak negara yang kini jatuh ke tangan pihak penentang, beliau menjelaskan, "kumpulan-kumpulan Al-Qaeda ini menyebabkan syarikat-syarikat minyak berada dalam ketakutan, melarikan diri dan menghentikan pengeluaran minyak. Pengeluaran minyak kini berada pada tahap paling minimum".

"Semua yang berlaku jelas menunjukkan konspirasi jahat Al-Qaeda.

"Semua ini tidak boleh dibiarkan. Kami akan berperang sehingga ke titisan darah terakhir," tegasnya.

Gaddafi mendakwa penduduk bandar Benghazi yang sebelum ini memainkan peranan utama dalam penentangan terhadap pemerintahannya, telah meminta pertolongan beliau untuk mengusir kumpulan-kumpulan bersenjata di sana.

"Tiada kekacauan yang berlaku di Libya seperti dilaporkan media asing," katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment