JOHOR BAHRU 19 Feb. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhdyiddin Yassin berkata, para guru, anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak alumni semua sekolah perlu sama-sama menggalas tanggungjawab dalam memastikan peningkatan tahap pendidikan negara.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, tugas mendidik pelajar bukan lagi merupakan tugas eksklusif pihak sekolah tetapi tanggungjawab bersama semua pihak.
"Kita perlu memastikan kesemua 5.6 juta pelajar dalam sistem kita dapat dibimbing dan dididik agar menjadi manusia berguna yang dapat meningkatkan pencapaian akademik dan bukan akademik agar dapat menyumbang kepada pembangunan negara pada masa akan datang.
"Saya rasa amat penting transformasi pendidikan 10 tahun lepas diteruskan. Dari satu sudut kita sudah berjaya tetapi masih terdapat keperluan untuk memastikan ia tidak tertumpu kepada sekolah-sekolah terpilih malah perlu juga kawasan kurang maju atau luar bandar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Jaafar (SDJ) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini malam ini.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang juga Penaung Diraja Alumni SDJ berkenan menghadiri majlis tersebut.
Turut hadir ialah isteri Muhyiddin, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi dan Datuk Dr. Wee Ka Siong; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri, Datin Paduka Prof. Dr. Jamilah Ariffin dan Presiden Alumni SDJ, Datuk Datuk Syed Hussein Al-Habshee.
Mengulas lebih lanjut, Muhyiddin berkata, kerajaan berusaha keras untuk memastikan transformasi sistem pendidikan adalah sama rata dan tidak tertumpu kepada sekolah-sekolah terpilih sahaja.
Jelasnya, antara inisiatif yang diambil kerajaan adalah meningkatkan peluang pendidikan prasekolah, memastikan pelajar tahap satu sekolah rendah dapat menguasai kemahiran membaca, mengira dan menulis (3M) dan penubuhan Sekolah Berprestasi Tinggi.
Katanya lagi, kesemua inisiatif tersebut adalah untuk memastikan tahap pencapaian sekolah-sekolah seluruh negara ditingkatkan dengan sebilangan daripadanya sudahpun setanding dengan negara maju.
Beliau turut menyatakan kepentingan bidang sukan dengan pelancaran dasar 1 Murid 1 Sukan baru-baru ini dan mahu pihak sekolah tidak menjadikan prasarana sukan yang tidak mencukupi sebagai halangan menjayakannya.
Pada masa sama, Muhyiddin turut mengumumkan kelulusan peruntukan RM400,000 untuk menaik taraf dewan di sekolah tersebut. - Utusan
* Cikgu sibuk kerana diberi bebanan yang tidak sepatutnya iaitu tugas selain mendidik murid dan pelajar. Masyarakat yang tidak terdidik masa ini adalah kesan kegagalan pendidikan negara...
No comments:
Post a Comment