04 February 2011

Pesawat TUDM tunggu kebenaran mendarat

ABU DHABI 3 Feb. – Tiga pesawat Charlie C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menyertai misi pemindahan pelajar Malaysia keluar dari Kaherah, terpaksa menunggu hampir seharian di lapangan terbang antarabangsa di sini hari ini.

Misi yang diistilah sebagai Misi Operasi Piramid itu, menanti kebenaran untuk mendarat di Jeddah, Arab Saudi.

“Ia sedang diurus di peringkat tertinggi kedua-dua kerajaan,” kata seorang pegawai yang enggan disiarkan namanya.

Sejak berlepas dari Kem TUDM Subang pukul 9 malam Rabu, tiga pesawat tersebut telah berhenti di Maldives dan kemudian di lapangan terbang Al Ain di Emiriah Arab Bersatu, ekoran ribut pasir di Abu Dhabi.

Seramai 14 wakil media menyertai penerbangan itu bagi membuat liputan misi tersebut yang akan menjadikan Jeddah sebagai pusat pemindahan sementara pelajar Malaysia dari Kaherah.

Selain itu, seramai 62 pegawai TUDM dan agensi-agensi kerajaan yang turut terlibat dalam misi tersebut.

Semalam, kerajaan memutuskan untuk membawa keluar pelajar Malaysia dari Mesir menerusi laut dan udara berikutan pergolakan yang semakin meruncing di negara itu.

Dua penerbangan pertama, Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia akan membawa kira-kira 600 pelajar Malaysia yang menunggu untuk dipindahkan dari Kaherah, Mesir, dan dijangka tiba di Jeddah, Arab Saudi menjelang tengah malam ini.

Pesawat Boeing 747 MAS dan A340 AirAsia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal hari ini menuju ke Kaherah.

Tiga pesawat pengangkut C-130 TUDM, yang berlepas ke Jeddah semalam, akan memulakan penerbangan membawa keluar pelajar Malaysia dari Mesir pagi esok. - utusan

No comments:

Post a Comment