KUALA LUMPUR 3 Feb. – Meskipun keadaan banjir di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan semakin reda, namun di Pahang keadaannya tidak banyak berubah apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan terus meningkat.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang berkata, jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan meningkat kepada 2,265 berbanding 2,081 orang semalam.
Sehingga lewat petang ini, kesemua mangsa yang dipindahkan melibatkan dua daerah iaitu Rompin dan Temerloh.
“Ia membabitkan seramai 1,808 orang daripada 236 keluarga di Rompin manakala 457 mangsa dari 118 keluarga lagi dari Temerloh.
“Mangsa banjir di Rompin ditempatkan di enam pusat pemindahan iaitu seramai 1,216 di Pusat Komuniti Bukit Serok, Balai Raya Kampung Rekoh (168), Dewan Tun Razak (298), Dewan Teluk Gading Tanjung Gemok (83), Sekolah Kebangsaan Kampung Aur (37) dan Balai Raya Kampung Lubuk Batu (6).
“Di Temerloh pula, mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Kapor adalah seramai 356 orang, SK Desa Bakti (82) dan Dewan Sri Gading seramai 19 orang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut jurucakap itu, beberapa jalan di kawasan pedalaman terus ditutup kepada kenderaan ringan iaitu di Jalan Hwali dan Jalan Lam Trading di Cenderawasih, Rompin.
“Jalan Kampung Baru Bukit Ibam, Jalan Kampung Inoi, Jambatan Sungai Gayong, Kedaik dan Jambatan Lubuk Batu di Kota Bahagia, Rompin masih ditutup kepada semua kenderaan,” ujarnya.
Di Temerloh pula tambahnya, Jambatan Tanjung Kerayong, Mentakab ditutup kepada semua kenderaan manakala laluan di Kilometer 22, Jalan Kemayan-RISDA, Bera hanya dibenarkan untuk kenderaan berat.
Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada laporan kematian akibat banjir diterima oleh pihaknya.
Di MELAKA, seramai 624 orang daripada 136 keluarga masih berada di lima pusat pemindahan sehingga tengah hari ini berbanding 724 orang di sebelah pagi.
Jurucakap bilik gerakan banjir negeri Melaka berkata, setakat pukul 12 tengah hari ini, seramai 465 orang daripada 101 keluarga berada di tiga pusat pemindahan di daerah Jasin, manakala 159 orang daripada 35 keluarga berada di dua pusat pemindahan di Alor Gajah.
Katanya, kesemua pusat pemindahan di daerah Melaka Tengah telah ditutup selepas mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Di JOHOR, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di negeri itu berkurangan kepada 36,923 orang berbanding 41,095 orang pada sebelah pagi.
Sebanyak 8,661 keluarga masih ditempatkan di 180 pusat pemindahan iaitu Muar (1,930), Batu Pahat (1,337), Segamat (2,863), Kluang (380) Pontian (125), Kota Tinggi (272), Mersing (42) dan Ledang (1,712).
Segamat yang mencatatkan mangsa paling ramai dipindahkan semalam iaitu 15,179 orang kini telah menurun kepada 11,841.
Menurut Bilik Gerakan Banjir Negeri Johor di portal rasmi kerajaan negeri http://www.johordt.gov.my, sebanyak 24 pusat pemindahan masih dibuka di Muar, Batu Pahat (33), Segamat (62), Kluang (12), Pontian (sembilan), Kota Tinggi (11), Mersing (dua) dan Ledang (12).
Pusat-pusat pemindahan di Johor Bahru dan Kulaijaya telah ditutup.
Jumlah kematian sehingga kini kekal empat orang iaitu dua di Segamat serta masing-masing satu di Kulaijaya dan Kota Tinggi.
Sementara itu, jurucakap polis trafik berkata, hanya laluan Segamat menghala Kuantan dan dari Plaza Tol Yong Peng ke Labis sahaja boleh dilalui pengguna untuk ke Segamat hari ini berikutan laluan lain tidak boleh dilalui kenderaan ringan.
Beliau menasihatkan pengguna supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dalam memastikan kelancaran lalu lintas.
Dalam pada itu, lebih 500 orang termasuk keluarga Tionghua yang ingin beraya di Gemas terkandas di jambatan Buloh Kasap menghala ke Gemas dan laluan Segamat ke Muar di Kampung Batu Badak berikutan banjir yang melanda.
Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai, Lim, 42, berkata, beliau sekeluarga dalam perjalanan ke Gemas untuk menyambut tahun baru bersama saudara-maranya.
“Apa boleh buat air semakin naik. Kami terpaksa tunggu atau batalkan perjalanan ini,” katanya.
Di NEGERI SEMBILAN, keadaan banjir semakin pulih apabila hanya tiga pusat pemindahan yang masih dibuka di daerah Tampin dan Jempol.
Jurucakap bilik gerakan banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri berkata, setakat pukul 12 tengah hari, seramai 586 penduduk dari 197 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan.
“Buat masa ini di daerah Tampin hanya dua pusat penempatan sementara masih dibuka dan dihuni seramai 563 mangsa dari 147 keluarga.
“Di Jempol pula hanya satu pusat pemindahan masih dibuka dan hanya menempatkan seramai 23 penduduk dari lima keluarga,” katanya.
Jelasnya, keadaan banjir di negeri ini semakin pulih yang mana kebanyakan penduduk yang terjejas sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
“Kita jangkakan semua pusat pemindahan akan ditutup tidak lama lagi apabila keadaan pulih sepenuhnya,” ujarnya.
Bagaimanapun, kata jurucakap itu lagi, pihak JKM dan agensi berkaitan tetap berada dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya banjir berulang. - Utusan
No comments:
Post a Comment