KLANG 8 Feb. - Kebanjiran peniaga asing di Taman Meru Utama, di sini, menimbulkan rasa rimas dan bimbang di kalangan penduduk di kawasan perumahan itu.
Ini kerana dakwa mereka, kehadiran mereka yang semakin ramai mengganggu ketenteraman penduduk ekoran sikap mereka yang pengotor dan pemabuk yang dikhuatiri boleh menimbulkan pergaduhan.
Lebih membimbangkan apabila peniaga-peniaga ini mula mengubah suai rumah yang disewa mereka di kawasan berkenaan menjadi premis perniagaan.
Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati lebih daripada lima buah rumah dijadikan premis perniagaan dengan pelbagai aktiviti perniagaan seperti kedai runcit dan kedai makan.
Terdapat sebuah rumah di kawasan berkenaan dijadikan tempat menjual minuman keras yang dibawa dari Myanmar.
Setiausaha Kejiranan dan Keselamatan Kariah Batu 7 Meru, Syed Hassan Kuthoos Syed Ahmad Kabeer berkata, yang menjadi persoalannya kini ialah pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) seolah-olah tidak ambil peduli masalah tersebut.
Menurut beliau, pihak MPK hanya datang menyaman peniaga-peniaga tersebut tanpa ada tindakan susulan yang lebih tegas.
''Saya sendiri pernah terdengar peniaga di situ mengatakan saman yang dikeluarkan MPK itu seolah-oleh seperti mereka hanya membayar sewa sahaja itupun bukan setiap bulan peniaga terbabit disaman.
''Mengapa MPK hanya menyaman setiap kali operasi di kawasan ini dan tidak menyita sahaja barang-barang peniaga tersebut kerana ia bukan baru berlaku tetapi sudah hampir dua tahun masalah ini merimaskan penduduk," katanya di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, kawasan tersebut telah banyak kali diserbu oleh pihak berkuasa namun keadaannya masih tidak berubah, malah bertambah teruk dari hari ke hari.
Jelasnya, pihak berkuasa seharusnya bertindak tegas dengan peniaga tersebut yang pastinya tidak mempunyai lesen perniagaan.
Katanya, penduduk tempatan bukannya dengki dengan aktiviti yang dijalankan oleh warga asing itu tetapi merasa tidak adil kerana mereka menjalankan perniagaan tanpa lesen, tidak membayar cukai serta sering mengakibatkan kekotoran.
Ujarnya, kebanyakan mereka menjalankan aktiviti gerai makan di dalam rumah mereka dan sudah pasti sisa makanan tersebut menyebabkan keadaan longkang tersumbat serta berbau busuk.
"Saya bukan hendak menyekat mereka mencari rezeki disebabkan mereka warga asing, namun apabila bercakap mengenai masalah kotor dan perniagaan tanpa lesen, mana-mana individu yang terlibat sama ada warga tempatan mahupun warga asing, tindakan perlu dikenakan.
"Justeru itu, saya amat berharap pihak berkuasa tempatan dapat memantau perkara ini agar ia tidak menjadi semakin teruk," jelasnya.
Bagi seorang penduduk yang hanya ingin dikenali Azmi berkata, kesan ketara ialah masalah kesesakan lalu lintas yang melampau termasuk sikap tidak bertanggungjawab 'pelanggan' meletakkan kereta di bahu jalan.
"Bila pelanggan mereka datang berurusan, kereta diletak merata-rata, habis sesak jalan-jalan di sini," ujarnya.
Seorang penduduk lagi yang dikenali Suriana memberitahu, rumah-rumah yang disewa peniaga asing itu tidak sepatutnya dijadikan kedai kerana dakwanya kawasan itu telah diwartakan sebagai tempat tinggal bukan premis perniagaan .
"Bayangkanlah jika berlaku kebakaran, api mungkin akan merebak ke rumah-rumah yang lain, ini tidak termasuk bau busuk sisa-sisa makanan yang dibuang," katanya.
Suriana turut mempersoalkan keberkesanan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dilihat seolah-olah memberi lampu hijau kepada pemilik-pemilik rumah mengubah suai kediaman mereka.
"Saya rasa, pihak berkuasa mana sekali pun tidak akan meluluskan pelan perniagaan kepada pemilik rumah kerana kedudukannya yang tidak sesuai untuk menjalankan operasi sedemikian," katanya.
* Apa cerita ni Pakatan Rakyat? Pilihanraya sudah dekat ni...
No comments:
Post a Comment