04 February 2011

MAS dibenar guna lapangan terbang Mesir, Saudi


Penerbangan Malaysia (MAS) mendapat kebenaran pihak berkuasa Mesir dan Arab Saudi untuk berlepas dan mendarat di lapangan terbang kedua-dua negara itu sehingga Isnin depan untuk misi memindahkan pelajar dan warga Malaysia dari Mesir yang sedang bergolak.

“Kebenaran ini penting bagi melicinkan proses pemindahan pelajar dan rakyat Malaysia di Kaherah, Mesir ke Jeddah,” kata Naib Pengerusi Eksekutif Hubungan Luar MAS Kapten Datuk Mohd Nawawi Awang.

Chef de Mission MAS itu berkata hubungan akrab MAS dengan pihak berkuasa lapangan terbang Arab Saudi dan Mesir adalah antara faktor penyumbang kepada kelancaran proses membawa keluar warga Malaysia di Kaherah.

“MAS memang mempunyai perjalanan ke Jeddah dan kita mempunyai sistem di situ. Bagaimanapun di Kaherah, kita menjalin hubungan baik dengan EgyptAir yang turut membantu kita memperoleh kebenaran untuk mendarat dan berlepas.

“Sememangnya MAS boleh melakukan penerbangan ke mana sahaja tetapi apa yang penting ialah kebenaran untuk mendarat dan berlepas perlu ada,” katanya kepada wartawan Malaysia yang meliputi misi tersebut di sini hari ini.

Mengakui misi ini agak mencabar, Mohd Nawawi bagaimanapun berkata MAS kerap berhubung dengan menara kawalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mendapatkan maklumat dan situasi terkini di Kaherah.

Kumpulan pertama 365 rakyat Malaysia termasuk seorang bayi berjaya dibawa keluar dari Kaherah dan tiba di Jeddah dengan pesawat Boeing 747 milik MAS.

Mohd Nawawi berkata penerbangan MAS membawa kumpulan pelajar dan warga Malaysia untuk hari ini bermula pada pukul 8 pagi waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia) manakala penerbangan kedua pula bermula pada pukul 4 petang waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia).

Dalam pada itu, beliau berkata MAS dan pihak berkuasa Malaysia sedang berbincang tentang urusan membawa pelajar dan warga Malaysia pulang terus ke tanah air dari Jeddah.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini belum ada keputusan dibuat mengenainya.

“Apa yang penting sekarang, kita akan sedaya upaya membawa keluar pelajar dan rakyat Malaysia dari Kaherah ke Jeddah,” katanya.

Pada masa ini dianggarkan terdapat 14,000 pelajar Malaysia di Mesir yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di sana.

Sejak seminggu lalu, berpuluh ribu rakyat keluar ke jalan-jalan raya di Mesir mengadakan demonstrasi mendesak Presiden Hosni Mubarak yang telah memerintah negara itu selama 30 tahun, agar segera berundur.

Tunjuk perasaan berlaku di bandar-bandar besar termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura.

Dalam pada itu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menafikan dakwaan sesetengah pihak menerusi internet bahawa kerajaan lambat bertindak untuk memindahkan pelajar Malaysia dari Mesir yang kini dilanda kacau bilau.

Sebaliknya, beliau berkata kerajaan bertindak pantas untuk menguruskan pemindahan rakyat Malaysia dari Mesir, dan ini dilakukan hampir serentak dengan langkah oleh negara lain termasuk Amerika Syarikat.

Sehubungan itu, Anifah merayu kepada pihak terbabit, khususnya blogger, supaya tidak mempolitik atau mensabotaj usaha murni kerajaan Malaysia untuk memindahkan atau membawa keluar lebih 11,000 rakyat negara ini dari Mesir ke Jeddah, Arab Saudi. — Bernama

No comments:

Post a Comment