Home | Malaysiakini | Sinar Harian | Astro Awani | BHarian | Kosmo | Malaysia Gazette | HMetro | Mstar | Bernama | Majoriti | Gempak | Bebas News | Carigold | Blogger |
05 February 2011
Budak 8 tahun mati lemas
PASIR PUTEH 4 Feb. - Seorang kanak-kanak berusia 8 tahun ditemui mati lemas ketika berkelah dan mencari kepah bersama keluarganya di Lagun Kuala Semerak di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi ketika mangsa, Rabiatul Adawiah Razni, sedang bermain dengan bapa saudaranya, Mohd. Ilham Mazlan, 13, di tepi lagun berkenaan.
Bapa mangsa, Razni Tahir, 39, dari Laklok, Machang ketika ditemui memberitahu, sebelum kejadian, dia nampak anaknya sedang bermain tidak jauh dari tempat dia mencari kepah.
Katanya, dia sebelum itu sempat menasihati anaknya supaya tidak pergi terlalu jauh kerana air sungai semakin pasang dan ada tempat yang lebih dalam.
"Tidak sampai lima minit, anak saya bangun dari tempat duduknya menuju ke tengah lagun. Saya menjerit dengan kuat untuk melarangnya supaya jangan pergi, malangnya jeritan saya itu tidak diendahkan.
"Saya tahu tempat ini amat berbahaya kerana ada beberapa kawasan berbentuk kawah tetapi inilah peluang untuk saya dan ahli keluarga berkelah sempena cuti Tahun Baru Cina.
"Saya sudah berjanji dengan ahli keluarga memilih Lagun Kuala Semerak untuk bersantai sambil mencari kepah," katanya.
Rabiatul Adawiah, anak sulung daripada lima beradik itu dikatakan menjadi mangsa ke-26 yang maut di lagun tersebut.
Sementara itu, Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharuddin Yahya berkata, mayat mangsa ditemui terdampar tidak jauh dari tempat bapanya mencari kepah pada pukul 2.20 petang.
"Kami menasihatkan semua pengunjung yang ingin berkelah di sekitar lagun ini agar mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk tidak mandi di kawasan pelampung amaran dan kawasan yang sudah diwartakan sebagai 'lubuk maut' untuk mengelak kejadian ini daripada berulang," katanya.
Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment