KUALA LUMPUR – Seorang kontraktor pembersihan cedera parah selepas terkena dua das tembakan di bahu dan kaki kanan dalam kejadian di Blok C, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Jalan Ipoh di sini semalam.
Kejadian pukul 6 pagi itu berlaku apabila lelaki berusia 35 tahun tersebut didatangi individu tidak dikenali ketika dia dalam perjalanan ke kenderaan miliknya jenis Toyota Alphard yang diletakkan kira-kira 10 meter dari tempat letak kereta di blok tersebut.
Suspek kemudian telah melepaskan lima das tembakan ke arah mangsa tetapi tiga daripadanya tersasar. Suspek kemudian melarikan diri.
Sebaik ditembak di bahu dan kaki kanan, mangsa yang dalam keadaan berlumuran darah sempat menghubungi bapanya yang berusia 68 tahun. Ketika itu, bapanya berada di rumah mereka di tingkat tiga di blok tersebut.
Sebaik turun, dia melihat anaknya tertiarap di atas jalan lalu membawa mangsa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, polis yang menjalankan pemeriksaan menemui lima kelongsong peluru berukuran .45mm termasuk yang ada pada kenderaan mangsa.
Katanya, walaupun terkena dua das tembakan, mangsa masih dapat diselamatkan dan keadaannya dilaporkan stabil.
“Siasatan awal percaya kejadian itu berpunca akibat dendam. Bagaimanapun, motif sebenar masih dalam siasatan.
“Semakan mendapati mangsa mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan samun pada 1999,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, seorang penduduk, Kiki Marindo, 32, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur dan terkejut selepas terdengar bunyi letupan.
“Saya ingatkan orang main mercun tetapi sebaik saya pulang dari menghantar anak ke sekolah pada pukul 8 pagi, barulah saya tahu ada orang kena tembak selepas lihat beberapa anggota polis melakukan siasatan di situ,” katanya yang tinggal di tingkat 10 bangunan sama.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Rakan Cop di talian 03-21159999 atau SMS ke 32728 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh. - Kosmo
* Ramai sungguh pembunuh di Malaysia ini...
No comments:
Post a Comment