LONDON – Perlumbaan pembuka tirai musim Formula Satu (F1) 2011, Grand Prix Bahrain yang dijadual berlangsung 13 Mac ini berdepan kemungkinan dibatalkan kerana pergolakan politik di negara tersebut.Perkara ini disahkan oleh pemilik penganjuran F1 sendiri, Bernie Ecclestone kelmarin.
“Kami akan membuat keputusan pada hari Selasa atau Rabu (minggu depan). Kalau situasi masih tidak berubah, jawapannya ialah tidak.
“Jika tunjuk perasaan masih tidak reda sehingga Rabu depan, saya fikir kami mungkin terpaksa membatalkannya,” ujarnya lagi mengenai perlumbaan di Litar Sakhir itu.
Ecclestone telah berjumpa dengan Putera Mahkota Bahrain awal kelmarin bagi mengetahui perkembangan terkini situasi di negara tersebut.
“Jika kamu telah membuat tempahan penerbangan ke sini, saya nasihatkan jangan pergi,” katanya lagi.
Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh sejak hari kelmarin apabila polis Bahrain menyerbu kem penunjuk perasaan di tengah Dataran Manama.
Beribu-ribu penunjuk perasaan dari puak Syiah berarak di jalan raya bandar tersebut bagi meminta kebebasan hak bersuara di negara Teluk Arab di mana keluarga dari puak Sunnah memerintah populasi yang majoritinya daripada penduduk Syiah.
Awal minggu ini, dua terbunuh dalam demonstrasi dan pergaduhan di Manama. – Reuters
No comments:
Post a Comment