20 February 2011

KG. Bukit Sena rintis skim pengairan guna paip

JITRA 20 Feb. — Skim pengairan sawah Kampung Bukit Sena dalam daerah Padang Terap yang akan dilaksanakan Mac ini dijangka meningkatkan hasil petani sekali ganda dan membolehkan petani menanam padi dua kali setahun.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata seramai 800 orang petani yang mengusahakan kira-kira 1,000 hektar sawah akan mendapat manfaat daripada projek itu.

Beliau berkata di bawah projek perintis itu yang menelan kos hampir RM23 juta, air dari sungai Pedu dipam dan disalurkan melalui paip yang dipasang ke kawasan sawah.

"Projek ini telah siap dan akan membekalkan air mulai musim tanaman padi Mac ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus pengurusan padi secara perladangan untuk skim pengairan Kampung Bukit Sena di sini, hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan projek ini juga bermakna petani perlu mematuhi jadual penanaman padi MADA bermula dari air dipam masuk ke sawah, membajak, menanam dan menuai. — Bernama

No comments:

Post a Comment