01 February 2011

Kerajaan Hosni sedia runding dengan pembangkang

KAHERAH 31 Jan. - Selepas pemerintahan selama 30 tahun yang tidak dicabar, Presiden Mesir Hosni Mubarak semalam membuka pintu rundingan kepada parti pembangkang dan pihak yang disifatkan beliau menggunakan agama untuk 'menyebar ketakutan' melalui bantahan besar-besaran.

Menurut transkrip ucapan beliau kepada barisan kepimpinan baru kerajaan yang dibacakan di stesen Nile TV, Presiden itu mengakui apa yang disifatkannya sebagai 'demonstrasi aman' serta rungutan orang ramai mengenai ekonomi.

"Keadaan ini memerlukan kita menyusun semula keutamaan negara dalam satu cara yang menuruti kemahuan rakyat," katanya.

Mubarak turut mengakui situasi kekacauan dengan menggesa pemimpin negara terutamanya Perdana Menteri baru, Ahmed Shafiq supaya mengadakan satu dialog dengan semua parti pembangkang kerana ia boleh mencapai proses demokrasi.

Beliau turut meminta barisan kepimpinan baru kerajaan supaya 'menentang pihak-pihak yang melakukan sebarang bentuk rasuah' dan menegaskan 'keperluan melaksanakan langkah adil, serius dan berkesan dalam pembaharuan politik, Perlembagaan dan perundangan'.

Katanya, pemimpin-pemimpin juga perlu 'menghentikan semua keganasan oleh mana-mana pihak yang melakukannya' dalam satu kenyataan yang merujuk kepada parti pembangkang utama Mesir, Ikhwanul Muslimin.

"Rakyat dan golongan muda Mesir keluar ke jalan-jalan mengadakan bantahan secara aman bagi menyatakan hak kebebasan suara mereka.

"Bagaimanapun, demonstrasi mereka diganggu sekumpulan pihak yang menggunakan nama agama yang langsung tidak mengambil kira hak Perlembagaan dan nilai-nilai kerakyatan," katanya.

Presiden itu hari ini turut menamakan bekas Gabenor Sinai Utara, Jeneral Murad Mowafi sebagai ketua perisik baru negara. - AGENSI

No comments:

Post a Comment