KAHERAH 31 Jan. - Aktivis demokrasi Mesir, Mohamed ElBaradei mendesak Presiden, Hosni Mubarak untuk meletakkan jawatannya ketika bercakap kepada penunjuk perasaan yang melanggar perintah darurat pada malam ketiga berturut-turut di Kaherah.
Pesawat pejuang terbang rendah manakala polis kembali ditempatkan di jalan-jalan utama di ibu negara itu bagi menunjukkan kawalan oleh pihak berkuasa.
Kehadiran pemenang Anugerah Nobel Keamanan itu di Dataran Tahrir (Kemerdekaan) semalam, menggariskan usaha pergerakan penunjuk perasaan secara besar-besaran untuk menggulingkan pemimpin negara itu.
Demonstrasi yang kini memasuki hari keenam dan berpusat di dataran berkenaan di mana lebih 10,000 penunjuk perasaan berkumpul semalam, walaupun perintah darurat berkuatkuasa pukul 4 petang waktu tempatan.
Mereka melaungkan ''Berambus, berambus, berambus!.
''Anda adalah pemilik revolusi ini. Anda adalah masa depan,'' kata ElBaradei kepada penunjuk perasaan.
Menurutnya, permintaan asas mereka adalah penggulingan rejim dan permulaan kerajaan baru di Mesir di mana rakyatnya hidup dengan kebebasan, jujur dan bermaruah.
Pemimpin pembangkang Mesir itu menambah, beliau juga mungkin bertanding pada pilihan raya Presiden sekiranya perubahan Perlembagaan dilakukan.
Dalam pada itu, tanda-tanda menunjukkan kedudukan rejim Mubarak selama tiga dekad mula goyah apabila sekutu utamanya, Amerika Syarikat meminta satu perubahan ke arah demokrasi.
Ditanya jika Washington menyokong Mubarak sebagai pemimpin Mesir, Setiausaha Negara, Hillary Rodham Clinton mengelak memberi jawapan tepat.
''Kami sudah jelaskan bahawa kami mahu satu transisi ke arah demokrasi dan kami mahu melihat langkah-langkah diambil yang akan menyaksikan pelaksanaannya,'' katanya kepada Fox News. - AFP
No comments:
Post a Comment