09 February 2011

Guru tidak terbeban kerja

SAYA ingin memberi reaksi kepada pandangan saudara Norhisyam Mohamad dari Kuala Kedah di ruangan ini pada 3 Februari 2011 mengenai Jawatankuasa Khas mengkaji beban tugas guru.

Masyarakat Malaysia sering kali diperdengarkan dengan keluh-kesah warga guru yang mengatakan mereka banyak kerja, kerja sampai ke rumah, waktu cuti pun dipanggil bekerja dan seribu macam lagi. Namun tidak ada statistik sebenar yang menunjukkan bahawa warga guru ini adalah benar-benar dalam keadaan tertekan.

Saya telah berkhidmat sebagai guru mulai Disember 1992 sehingga kini. Saya berasa malu dan bersalah jika mengaku terbeban dengan kerja mendidik. Rasionalnya:

* Hampir setiap guru hanya akan diberikan tanggungjawab mengajar minimum dengan enam waktu seminggu dan maksimum 25 waktu seminggu. Secara purata ramai daripada di kalangan guru hanya diberi waktu mengajar 16 waktu seminggu. Satu waktu bersamaan 30 minit atau paling lama 40 minit. Secara purata kebanyakan sekolah rendah atau pun menengah menggunakan satu waktu bersamaan dengan 30 minit sahaja. Purata waktu mengajar guru ialah 16 waktu X 30 min= 480 minit atau lapan jam seminggu iaitu bersamaan satu hari bekerja penjawat awam yang lain.

* Tugas-tugas khas selain daripada kurikulum akan diberikan dengan agihan saksama. Berdasarkan pengalaman saya sebagai pengurusan sekolah, seorang guru akan diberikan satu tugas khas dan satu tugas kokurikulum. Misalnya, jika seorang guru diberikan tanggungjawab guru kelas atau tingkatan, ketua rumah sukan, ketua persatuan atau kelab dan jawatan berupa tanggungjawab ketua, maka guru tersebut tidak akan diberi tanggungjawab lain kecuali sekolah kekurangan guru.

* Tugas menanda buku kerja pelajar, menanda kertas ujian atau peperiksaan dan menyediakan kertas soalan adalah tugas hakiki guru.

* Guru-guru wajar mengetahui dengan jelas tugas hakiki mereka. Jika tidak mengetahui, sila rujuk kepada SPP [Panduan tugas hakiki Pegawai Perkhidmatan Pendidikan].Tolong rujuk Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Guru, Visi, Misi dan Objektif Kementerian Pelajaran. Lihat juga Tonggak 12 dan semua jenis Perintah Am, Pekeliling Perkhidmatan dan panduan-panduan perkhidmatan guru yang lain.

Guru sebenarnya tidak terbeban dengan tugas hakiki yang ada kecuali mereka sendiri yang membebankan diri mereka. Alasan saya:

* Ramai guru yang terlibat dengan pelbagai aktiviti ekonomi seperti jualan langsung, insurans, jualan runcit (kain tudung, baju, kain pasang, tuisyen, kedai burger dan seribu macam lagi). Cuba rujuk laman sesawang seperti Facebook, kita akan jumpa kebanyakan penjawat awam termasuk guru menguar-uarkan produk jualan mereka dalam Facebook.

* Masa mengajar bukanlah berterusan. Pihak pengurusan sekolah tidak akan berlaku kejam. Setiap guru ada masa senggang. Misalnya, jika guru A telah mengajar tiga waktu sebelah pagi, maka pada waktu empat dan lima, lazimnya beliau akan rehat. Ada juga yang tidak mengajar seharian.

* Guru teknik, guru vokasional dan guru Kemahiran Hidup mempunyai masa mengajar yang lebih senggang. Ada di kalangan mereka yang mengajar tiga hari sahaja dan dua hari akan bercuti daripada mengajar. Purata mereka mengajar tidak lebih daripada 14 waktu seminggu kecuali guru yang mengajar Kemahiran Hidup. Ada yang sempat mengambil projek membuat pagar, membaiki kenderaan luar, mengecat kereta luar, membuat pendawaian rumah dan bermacam kerja lagi dalam waktu kerja.

* Ustaz-ustaz juga tidak ketinggalan menyampaikan ceramah berbayar di merata tempat tetapi tugas hakiki mendidik pelajar terabai. Kalau tidak masakan ada pelajar yang masih tidak mengenal huruf jawi dan tidak boleh membaca al-Quran.

* Guru-guru juga sibuk dengan kejohanan sukan diri sendiri, bukan untuk pelajar. Ada yang terlibat dengan kejohanan sehingga semingu lamanya, sedangkan ia hanya peringkat dalaman sahaja. Jika peringkat kebangsaan hanya setakat itu sahaja kerana tidak ada kejohanan sukan dunia untuk warga pendidik. Masalahnya anak murid yang terabai maka berlakulah guru tidak habis silibus.

Saya meminta mana-mana pihak, terutama golongan guru, agar memberi dan menunjukkan bukti imperikal bahawa mereka (lebih kurang 126,171 guru lelaki dan 279,545 guru perempuan) adalah dalam keadaan tertekan. Tunjukkan juga berapa ramai guru yang dirujuk kepada Lembaga Perubatan kerana masalah mental disebabkan ‘Beban Tugas’.

Saya menyeru semua warga pendidik iaitu guru, Pensyarah Guru, Pensyarah IPTA & IPTS agar menilai diri dan memahami fungsi kita sebagai pendidik. Jika kita tidak boleh, maka ada pekeliling yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk kita melepaskan jawatan kita dan carilah kerja yang sesuai dengan kita.

Mokhtar Sabah

Keningau, Sabah.

* 25 waktu seminggu? Ada guru diberi 28 waktu seminggu. Cikgu pengurus sekolah memanglah tidak tertekan kerana kerja mereka cuma mengarah, yang membuat itu siapa? Biasanya yang tertekan itu cikgu biasa. Cikgu pengurus tidak pegang kelas, tidak buat kerja pengkeranian, tidak jadi kuli siapkan projek itu projek ini, tidak cat dinding, tidak susun meja, tidak tersengeh-sengeh mencari sumbangan itu dan ini, tidak cat padang, tidak diberi beberapa tugas besar dalam satu masa. Mereka sedap-sedap di bilik berhawa dingin. Satu lagi, awak cikgu di mana? Sabah? Tolonglah, jangan jadi cikgu bawah tempurung boleh tak? Kalau ditugaskan ke Semenanjung terutama di bandar-bandar mungkin awak akan kerap mengunjungi hospital mental...

No comments:

Post a Comment