TRIPOLI 26 Feb. – Senario di Libya terus meruncing. Keadaan dilihat semakin tidak memihak kepada pemimpin veteran Libya, Muammar Gaddafi.
Semua petunjuk memperlihatkan pemimpin itu sudah hilang kawalan ke atas beberapa wilayah di timur negara itu, setelah beberapa bandar jatuh di tangan penunjuk perasaan antikerajaan.
Namun, Gaddafi enggan tunduk, sebaliknya berikrar akan terus mempertahankan pemerintahannya.
Dalam ucapannya semalam, Gaddafi berikrar akan membuka gudang senjata Libya kepada penyokongnya, membayangkan Tripoli akan bermandi darah jika penentang rejim cuba menawan ibu negara ini.
Dalam ucapan ringkasnya yang berapi-rapi dan penuh amaran di Dataran Hijau, Tripoli semalam memberitahu ratusan penyokongnya supaya bersiap sedia untuk mempertahankan ibu negara ini.
Sementara itu, Duta Libya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mohammed Shalgham, rakan Gaddafi sejak kecil, menjadi pegawai terbaru berpaling tadah, menyusuli timbalannya, Ibrahim Dabbashi yang berbuat demikian, baru-baru ini.
“PBB, tolong selamatkan Libya. Tolong cegah pertumpahan darah, tolong cegah pembunuhan orang tidak bersalah.
“Kami meminta satu resolusi yang tegas, segera dan berani daripada anda semua,” kata Shalgham kepada Majlis Keselamatan PBB.
Sementara itu, penyokong setia Gaddafi membunuh ramai orang apabila mereka melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang menyertai perarakan antikerajaan di Tripoli, semalam.
Ketika berucap dari atas bumbung sebuah bangunan di Tripoli semalam, Gaddafi menggesa penyokong yang berhimpun di Dataran Hijau di bawah sana supaya ‘mempertahankan Libya dan jika perlu, kita akan membuka semua gudang senjata’.
“Kita akan memerangi mereka dan kita akan menewaskan mereka,” katanya sementara penyokong menjulang potret beliau dan mengibarkan bendera hijau negara ini.
Hampir seluruh bahagian timur negara di Afrika Utara ini sudah terlepas daripada cengkaman Gaddafi sejak pemberontakan rakyat bermula di bandar pelabuhan Benghazi pada 15 Februari lalu.
Ucapan semalam adalah kenyataan terbuka ketiga yang dibuat oleh Gaddafi dalam minggu ini, selepas beliau menggesa pengikutnya supaya menumpaskan pemberontak dan kemudian menuduh rangkaian al-Qaeda menghasut golongan muda ‘yang khayal dengan dadah’ supaya bangkit untuk menumbangkan beliau. – AFP
* Gaddafi bakal senasib Saddam Husin...
No comments:
Post a Comment