TEMERLOH 26 Feb. - Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengingatkan seluruh jentera parti Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dan Merlimau supaya menganggap pengundi di kedua-dua kawasan itu sebagai 'raja'.
Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu perlu kerana hanya pengundi di kedua-dua kawasan itu yang akan menentukan kemenangan besar bagi calon BN.
"Kerana itu kita akan mengerahkan seluruh jentera parti termasuk parti komponen dan sayap parti seperti Wanita, Pemuda dan Puteri untuk bekerja bermati-matian dan mendekati semua pengundi dalam pilihan raya kecil ini bagi memastikan BN beroleh kejayaan cemerlang seperti yang diharapkan," katanya.
Beliau ditemui selepas berakhirnya proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau di Dewan Tun Razak di sini.
Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; dua Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Naib Presiden Gerakan, Senator A. Kohilan Pillay dan beberapa pemimpin BN lain.
Selepas proses penamaan calon berakhir, Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau menyaksikan pertandingan satu lawan satu iaitu antara calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad yang akan menentang calon Pas, Hassanuddin Salim.
Muhyiddin menambah, beliau berkeyakinan pengundi di Kerdau dan Merlimau dapat membuat keputusan yang tepat dengan memilih BN pada kedua-dua Pilihan Raya Kecil DUN itu berdasarkan senario politik dan ekonomi semasa negara.
Antaranya, kata beliau, menerusi pelbagai inisiatif dan transformasi besar yang dibawakan kerajaan terutama di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta peluang ekonomi yang begitu meluas.
"Ini menunjukkan kesungguhan BN untuk membela nasib rakyat tanpa mengira latar belakang agama dan keturunan," ujarnya.
Muhyiddin menambah, pengundi di Kerdau dan Merlimau juga boleh menilai dan membuat perbandingan apakah bentuk perjuangan serta perubahan yang telah dibawakan oleh pembangkang selama ini.
Kata beliau, Pas misalnya cukup dikenali dengan mengeluarkan fatwa-fatwa yang karut dan penyelewengan menggunakan agama manakala parti pembangkang lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula semakin hilang hala tuju dan menunggu masa untuk rebah.
"Saya percaya ini akan menjadi asas yang dinilai oleh pengundi dan saya yakin mereka juga tahu siapa yang akan mereka pilih nanti," katanya.
Begitu pun, jelas Muhyiddin, beliau tetap mengingatkan seluruh jentera BN untuk tidak mudah berasa selesa dan melihat Kerdau serta Merlimau sebagai PRK yang mudah bagi BN. - Utusan
* Wakil rakyat mati, rakyat jadi raja. "Ustaz apa hukum kita doakan wakil rakyat kawasan kita mati cepat, supaya kita boleh jadi raja?"...
No comments:
Post a Comment