19 February 2011

Elaun guru takmir dinaikkan kepada RM100

KUALA LUMPUR 18 Feb. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan elaun guru takmir seluruh negara daripada RM40 kepada RM100 bagi satu sesi.

Beliau berkata, dengan kenaikan tersebut, setiap guru takmir yang kini berjumlah 3,892 orang bakal memperoleh pendapatan sebanyak RM800 sebulan, berbanding RM480 sebelum ini dan ia berkuat kuasa Januari lalu.

Kata beliau, langkah itu juga menjadi bukti bahawa kerajaan amat prihatin kepada nasib dan masa depan mereka kerana guru takmir merupakan salah satu kumpulan masyarakat yang perlu mendapat pembelaan sewajarnya.

"Dalam bajet yang lalu, kerajaan telah menaikkan elaun bagi guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan para imam kepada RM800 sebulan kerana kita dapati elaun yang mereka peroleh sebelum ini tidak mencukupi.

"Kali ini kita menaikkan pula elaun guru-guru takmir supaya nasib dan masa depan mereka lebih terbela. Sekurang-kurangnya ia boleh menjadi pendapatan tambahan kepada guru-guru takmir kita,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Multaqa Guru Takmir seluruh Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, timbalannya, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, para mufti serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Guru takmir merupakan guru agama yang mengajar di masjid-masjid dan surau-surau.

Pada majlis tersebut, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Guru Takmir peringkat kebangsaan kepada tiga guru takmir terpilih iaitu Zakariah Limat, 65, Mohamad Arip Mohd. Yasin, 73 dan Fatimah Ya Abdullah, 67.

Perdana Menteri dalam ucapannya turut menyentuh pentingnya guru takmir menarik lebih ramai remaja mengikuti kelas yang diadakan di masjid-masjid dan surau-surau.

Beliau berkata, ini kerana sebahagian besar penuntut kelas-kelas takmir terdiri daripada warga emas.

"Saya difahamkan jumlah remaja kita yang hadir dalam kelas-kelas takmir kira-kira lima peratus sahaja. Bagi saya jumlah ini perlu ditingkatkan dan sesuatu perlu dilakukan bagi tujuan ini,'' katanya lagi.

Najib dalam pada itu turut menyeru supaya masjid sentiasa dimakmurkan kerana ia merupakan sebuah institusi yang menjadi lambang kekuatan dan perpaduan umat Islam.

"Malah saranan ini juga bertepatan dengan Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 18 yang bermaksud 'Hanya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah'," katanya lagi. - Utusan

No comments:

Post a Comment