19 February 2011

Ekonomi tumbuh 7.2% tahun lalu

KUALA LUMPUR 18 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pencapaian ekonomi Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan 7.2 peratus tahun lepas menunjukkan tindakan yang diambil kerajaan untuk mengatasi kemelut ekonomi gobal yang melanda negara ini, membawa hasil yang begitu menggalakkan.

Perdana Menteri berkata, pencapaian itu bukan sesuatu yang sederhana kerana ia merupakan satu proses pemulihan ekonomi yang mampan dan kukuh sehinggakan momentumnya turut dapat dirasai ke tahun ini.

“Saya harap kita dapat mencapai sasaran 6.0 peratus untuk tahun ini walaupun cabarannya tentu sekali amat besar sebab bila ekonomi kita terus berkembang, peningkatan selanjutnya akan lebih mencabar dari tahun-tahun kebelakangan,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas pengumuman Bank Negara Malaysia hari ini mengenai kadar pertumbuhan itu.

Ekonomi Malaysia mengatasi jangkaan apabila mencatat pertumbuhan 7.2 peratus tahun lepas berbanding penguncupan 1.7 peratus pada 2009, yang diperkukuh oleh pemulihan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, selain eksport dan import yang cergas.

Terdahulu, Najib mengadakan perjumpaan dengan Tuai Rumah Panjang dari Daerah Belaga, Sarawak, di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Namun, Perdana Menteri berkata, usaha akan diteruskan oleh kerajaan untuk mengukuhkan permintaan tempatan terutama melalui peranan sektor swasta dari segi pelaburan dan penggunaan.

“Projek Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) yang sedang dilaksanakan pelbagai peringkat dipercayai dapat merangsangkan pertumbuhan ekonomi sebagaimana diharapkan,” katanya. - Utusan

* Rakyat rasa turun...

No comments:

Post a Comment