08 February 2011

Dipecat dari Pos Msia, Adam Kadir bawa ke mahkamah

Bekas pengerusi bukan eksekutif Pos Malaysia Berhad Tan Sri Adam Kadir telah memfailkan saman terhadap pengarah urusan Khazanah Nasional Berhad Tan Sri Azman Mokhtar berhubung pemecatan jawatannya itu.

Khazanah Nasional Berhad adalah pemegang saham terbesar Pos Malaysia.

Adam memfailkan saman itu pada 4 November tahun lepas di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, melalui Tetuan Mohamed Hanipa and Associates.

Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes saman itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Dr Prasad Sandosham Abraham.

Azman juga telah memfailkan permohonan bagi membatalkan saman tersebut. Mahkamah menetapkan Jumaat ini untuk mendengar permohonan Azman itu.

Adam, dalam pernyataan tuntutannya mendakwa akibat campur tangan secara tidak sah oleh Azman, kerajaan telah membuat keputusan membatalkan kontrak pelantikannya sebagai pengerusi bukan eksekutif Pos Malaysia Berhad melalui dua pucuk surat yang ditandatangani Menteri Kewangan bertarikh 23 Mei 2008 dan 26
Mei 2008, sedangkan tempoh masa pelantikan beliau akan berakhir pada 28 Feb 2009.

Adam mendakwa surat-surat itu menyatakan bahawa pengerusi bukan eksekutif Pos Malaysia Berhad yang baru akan dilantik mulai 1 Jun 2008.

Beliau berkata melalui surat pelantikan yang ditandatangani oleh Menteri Kewangan bertarikh 17 Februari 2005, beliau telah dilantik sebagai pengarah dan pengerusi bukan eksekutif Pos Malaysia Berhad untuk tempoh dua tahun bermula 1 Mac 2005.

Adam berkata melalui surat bertarikh 25 Mac 2008 pihak kerajaan telah bersetuju melanjutkan tempoh perkhidmatannya itu untuk tempoh setahun berkuatkuasa 1 Mac 2008.

Beliau berkata berdasarkan surat itu terdapat satu kontrak antara beliau dengan pihak kerajaan untuk membenarkan beliau memegang jawatan itu sehingga berakhirnya tempoh masa pelantikannya iaitu pada 28 Februari 2009.

Adam memohon perintah deklarasi bahawa Azman telah secara tidak sah bertindak campurtangan bagi membatalkan kontrak jawatannya itu dan juga ganti rugi khas lebih RM200,000, antaranya bagi kehilangan elaun pengerusi sebanyak RM10,000 sebulan bermula 1 Jun 2008 sehingga 28 Feb 2009, kehilangan elaun
mesyuarat pengarah lembaga pengarah pada kadar RM750 setiap mesyuarat dan kehilangan elaun keraian RM2,000.

--Bernama

No comments:

Post a Comment