KAHERAH, 6 Feb — Beberapa pemimpin kanan parti pimpinan Presiden Hosni Mubarak termasuk anaknya Gamal meletakkan jawatan tetapi penunjuk perasaan meneruskan demonstrasi dengan menuntut perubahan lebih besar dalam kerajaan negara utara Afrika itu.
Pihak yang dekat dengan Hosni pula berpandangan bahawa tindakan beberapa pemimpin Parti Demokratik Nasional (NDP) berundur akan meredakan keadaan dan membolehkan presiden kekal berkuasa.
Bagaimanapun penunjuk perasaan menolak konsesi itu, sebaliknya bertekad untuk meneruskan “kempen agar berundur” meskipun mereka sudah kelihatan lemah dan penat.
Demonstasi yang masuk hari ke-12 semalam diteruskan dengan laungan “Dia akan pergi! Dia akan pergi!” dengan merujuk kepada desakan ke atas Hosni, 82, yang memerintah negara 80 juta penduduk itu sejak 1981.
Antara mereka dari jawatankuasa pemandu enam anggota NDP yang meletakkan jawatan ialah setiausaha agungnya Safwat el-Sharif dan Gamal sendiri.
Gamel sebelum ini disebut-sebut akan menggantikan Hosni sebagai presiden Mesir.
Minggu lalu Naib Presiden Omar Suleiman berjanji bahawa Gamal tidak akan bertanding jawatan presiden.
Janji yang sama diberikan oleh Hosni sendiri.
Hossam Badrawi, pakar perubatan yang memiliki hospital eksklusif di Kaherah dinamakan sebagai setiausaha agung yang baru dan mengetuai jawatankuasa dasar yang sebelum ini diketuai oleh Gamal.
“Kami tidak akan menerima pelan Amerika ini jika tidak memotong kepala ular,” kata Ahmed Mora, seorang pensyarah universiti yang menyertai kebangkitan rakyat ini, dipetik The Guardian.
Sekutu Mesir, Amerika Syarikat memberikan mandat kepada Omar untuk menguruskan proses peralihan kuasa dan memberi amaran perlu memastikan puak pelampau tidak ‘merampas’ proses tersebut.
“Penting untuk menyokong proses peralihan yang diumumkan oleh kerajaan Mesir yang diketuai oleh naib presiden Omar sekarang,” kata Setiausaha Negara Hillary Rodham Clinton di Munich, Jerman semalam.
Bagaimanapun diplomat veteran Mohamed ElBaradei, kini aktivis pembangkang yang utama berkata, tindakan Amerika Syarikat menyokong sama ada Hosni ataupun Omar adalah satu tindakan mengecewakan dalam proses ke arah pembentukan kerajaan peralihan.
“Jika ia benar... maka ia sesuatu yang mengecewakan. Saya boleh memberitahu anda,” kata bekas ketu agensi tenaga nuklear antarabangsa ini kepada Reuters. - TheMalaysianInsider
No comments:
Post a Comment