KUALA LUMPUR 23 Jan. - Pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959 jika diluluskan dan diguna pakai akan menjadikan Sultan Selangor sebagai rubber stamp atau tukang cop sahaja dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), pegawai kewangan dan Penasihat Undang-Undang negeri.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, ini kerana menerusi pindaan itu baginda diwajibkan merujuk nama yang diberikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri kepada Menteri Besar untuk dipersetujui.
Menurut beliau, Menteri Besar boleh menolak nama calon itu seterusnya memberi nama lain dan sultan langsung tiada kuasa untuk menerima atau menolak 'perkenan' Menteri Besar itu.
Katanya, sekurang-kurangnya dalam peruntukan sekarang, Sultan Selangor diberi penghormatan dan pengiktirafan untuk menentukan calon bagi jawatan itu apabila Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sebagai suatu amalan akan mengemukakan beberapa nama kepada baginda untuk diperkenan.
"Sultan di peringkat ini boleh menolak dan meminta diberi senarai lain dan baginda boleh mencadangkan nama seseorang yang diperkenan tuanku. Kebiasaannya SPA akan menerima cadangan baginda. Setakat ini belum pernah berlaku SPA tidak menerima perkenan Sultan Selangor.
"Tetapi dengan cara putar-belit oleh pembangkang, keadaan menjadi terbalik," katanya menerusi entri terbaru blog beliau http://zul4kulim.blogspot.com/ bertajuk Rampasan Kuasa Diraja hari ini.
Beliau mengulas cadangan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor untuk meminda Undang- Undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa pemerintah dan Menteri Besar dalam pelantikan ketiga-tiga jawatan pegawai tertinggi negeri itu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) esok.
Menurut Zulkifli, menerusi pindaan itu kuasa mutlak pelantikan adalah di tangan Menteri Besar.
Menurutnya, berlindung di sebalik nama dan kedudukan Sultan Selangor, kerajaan negeri cuba 'memperkudakan' baginda dalam soal pelantikan itu.
"Pada saya ia sebenarnya cubaan merampas kuasa yang dibuat secara halus dengan cara memutarbelitkan undang-undang.
"Inilah kesannya proviso pindaan tersebut dibaca dengan Artikel 54. Pendek kata, Sultan Selangor wajib menerima 'perkenan' Menteri Besar dalam pelantikan SUK, Penasihat Undang-Undang dan pegawai kewangan negeri," jelasnya. - Utusan
* Apa selama ini tidak...
No comments:
Post a Comment