30 January 2011

Hujan lebat boleh jejas peluang BN menang besar, kata TPM


Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peluang Barisan Nasional (BN) untuk menang besar dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang hari ini akan terjejas sekiranya peratusan keluar mengundi rendah ekoran cuaca hujan lebat.

Timbalan Perdana Menteri itu bagaimanapun yakin BN yang meletakkan Mohd Azahar Ibrahim sebagai calon akan tetap memenangi pilihan raya kecil itu.

“Kalau peratusan (keluar) mengundi rendah ia boleh jejaskan harapan terutama BN untuk raih sokongan besar.

“Kemenangan itu Insya-Allah, harap seberapa banyak pengundi akan keluar kerana ia akan tentukan majoriti kita.

“SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) juga telah keluarkan arahan kepada pihak berkuasa untuk membawa keluar pengundi (yang terjejas) banjir, jangan bimbang masih ada peluang untuk keluar,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau menjelaskan hujan lebat yang berlaku sejak awal pagi tadi akan menjejaskan kelancaran proses pilihan raya bagi memilih wakil rakyat baru di kawasan itu.

BN meletakkan Mohd Azahar, bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit manakala PAS-Pakatan Rakyat menurunkan Normala Sudirman, Ketua Muslimat PAS Labis.

“Peratusan mengundi boleh menjejaskan kelancaran, faktor-faktor ini boleh beri kesan.

“Menurut maklumat yang saya terima, pengundi yang sudah keluar hampir 40 peratus . . . boleh tahan walaupun hujan lebat.

“Ada kesedaran pengundi, walau apa pun terjadi mereka tetap keluar mengundi. Kalau yang sokong BN akan tetap keluar,” kata Muhyiddin.

Mengulas kejadian hujan lebat dan banjir yang berlaku di beberapa tempat di DUN Tenang, Menteri Pelajaran itu berkata langkah keselamatan akan diambil untuk membantu penduduk.

“Agar luar biasa, hujan lebat dan banjir. Saya juga saksikan beberapa kampung berpindah dan mereka adalah pengundi.

“Saya juga ada menerima maklumat ada beberapa kawasan yang terputus hubungan, SPR dan pihak berkuasa juga terlibat untuk membantu,” katanya.

Hujan lebat yang berlaku sejak pagi tadi menyebabkan seramai 14,753 menghadapi kesukaran untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

Tinjauan The Malaysian Insider mendapati beberapa kawasan petempatan penduduk dinaiki air, malah jalan keluar dilalui penduduk juga tidak dapat digunakan. - TheMalaysianInsider

No comments:

Post a Comment