30 January 2011

Cukuplah Hosni! pergi anda!

KAHERAH – Situasi di Mesir semakin getir apabila sekurang-kurangnya 74 orang maut manakala lebih 2,000 lagi cedera selepas puluhan ribu penunjuk perasaan bertempur dengan pasukan keselamatan pada ‘Hari Kemarahan’ kelmarin.

Semalam bantahan rakyat merebak hampir ke semua bandar besar di Mesir.

Di tiga bandar utama negara itu iaitu Kaherah, Iskandariah dan Suez, perintah berkurung waktu malam dikuatkuasakan tetapi gagal meredakan tunjuk perasaan.

Dalam senario huru-hara di sini, kereta-kereta perisai cuba merempuh kumpulan orang ramai dengan anggota-anggota polis menembak gas pemedih mata, peluru getah dan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan.

Beberapa sumber perubatan berkata,kebanyakan penunjuk cedera akibat terkena tembakan pasukan keselamatan.

Selain kematian dan kecederaan, banyak bangunan dan kereta turut dibakar dalam kekacauan besar-besaran di ibu kota Mesir berkenaan.

Bantahan rakyat yang masuk hari keempat kelmarin, menyaksikan berpuluh-puluh ribu orang mengepung polis di sini.

Mereka turut berhimpun di sebuah jambatan yang menghubungkan sungai Nil untuk bertempur dengan pasukan keselamatan di sini yang setakat ini menyebabkan puluhan orang maut dan 1,030 cedera.

“Tunjuk perasaan ini bukan mencabar pentadbiran semasa. Tujuannya hanya satu. Ia adalah kerana anda (Hosni), anda patut pergi! Cukuplah apa yang anda lakukan kepada rakyat!” kata seorang penunjuk perasaan di sini.

Di bandar Suez, timur Mesir pula, deretan kereta kebal tiba di lokasi itu kelmarin selepas 13 orang maut dan sebuah balai polis dibakar perusuh.

Sekurang-kurangnya enam lagi turut maut di bandar Iskandariah, dengan sebuah bangunan pemerintah hangus dibakar manakala dua penunjuk perasaan terbunuh di bandar Mansoura.

Menjelang waktu malam semalam, ibu pejabat parti pemerintah, Parti Demokratik Nasional di sini dibakar diikuti kumpulan perusuh menyerbu masuk ke dalam bangunan stesen televisyen pemerintah.

Gelombang kebangkitan di Mesir kali ini menyusul selepas Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali ditumbangkan oleh kuasa rakyat pada 14 Januari lalu.


Di Mesir, bantahan besar-besaran itu diadakan bagi menumbangkan pemerintahan tiga dekad Presiden Hosni Mubarak.

Rata-rata, rakyat memprotes kadar pengangguran dan kemiskinan yang melambung di Mesir selain berleluasanya rasuah.

Dalam usaha menyekat kebangkitan rakyat, pemerintah menggunakan pelbagai taktik termasuk kekerasan. Malah, perkhidmatan telefon bimbit dan Internet turut disekat. Namun, semua itu gagal membendung kemaraan rakyat.

Sehingga semalam, bilangan penunjuk perasaan bertambah hingga mencecah kepada puluhan ribu orang.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Hosni, 82, muncul di kaca televisyen buat kali pertama kelmarin dalam empat hari sejak kebangkitan rakyat bermula.

Beliau bagaimanapun, mengumumkan bahawa tidak akan sesekali berundur.

Sebaliknya, Hosni menawarkan untuk melaksanakan langkah-langkah demokrasi, bermula dengan pemecatan Kabinet.

“Saya akan memberi lebih kebebasan sekiranya rakyat patuh pada undang-undang,” katanya.

Menurutnya, Kabinet baru Mesir akan dibentuk pada hari ini.

Sementara itu, bekas ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa Mohamed El-Baradei, 68 dikenakan tahanan rumah oleh polis kerana menyertai tunjuk perasaan di ibu kota Mesir kelmarin. – Agensi

No comments:

Post a Comment