29 January 2011

'Fatwa' Nik Aziz menyeleweng

KOTA BHARU 28 Jan. - Dua tokoh agama di negeri ini menyelar tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan sesiapa yang tidak mengundi Pas adalah Arab Jahiliyah.

Kedua-dua mereka menegaskan kenyataan tersebut amat cetek dan tidak berlandaskan kepada ajaran Islam yang sebenar.

Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat, Mohd. Noor Idris berkata, 'fatwa' terbaru yang dikeluarkan oleh Nik Abdul Aziz jelas menyelewang dan menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam.

Beliau berkata, sewajarnya Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai badan tertinggi agama Islam mengambil tindakan tegas terhadap Menteri Besar Kelantan itu bagi mengelakkan umat Islam terus berpecah.

"Saya merasa dukacita di atas 'fatwa' baru yang dikeluarkan oleh seorang Menteri Besar yang bergelar tok guru, beliau tidak ada autoriti daripada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengeluarkan fatwa.

"Disebabkan itu saya minta Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja Melayu mengambil tindakan undang-undang disebabkan setiap kata-katanya dianggap sebagai fatwa oleh orang Pas dan ini akan menimbulkan kekeliruan serta memecah belahkan umat Islam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Nik Abdul Aziz iaitu tidak mengundi Pas dianggap jahiliyah ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah pula berkata, Nik Abdul Aziz tidak faham istilah 'jahiliyah' yang jelas merujuk kepada kaum Arab kafir ketika zaman Rasulullah dahulu.

"Jelas Nik Aziz tidak dapat membezakan di antara istilah kafir jahiliyah dan politik semasa sehingga mengeluarkan kenyataan semata-mata untuk menarik undi.

"Pas adalah sebuah parti politik dan bukannya agama. Parti politik bukannya sistem dalam Islam. Kalau sistem parti ini betul dengan Islam betullah, kalau tidak betul, tidak betullah," katanya.

Katanya, jika dikaji secara mendalam kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Nik Abdul Aziz sejak dari dahulu lagi jelas menunjukkan beliau tidak dapat membezakan di antara politik, agama, siasah dan cara mentadir negara.

Ujarnya, sebuah parti politik seperti Pas tidak dapat menentukan sama ada seorang itu akan masuk syurga atau neraka.

"Sistem parti ini sendiri tidak ada dalam Islam, bagaiamana pula dia mahu tentukan undi Pas masuk syurga, tidak undi Pas jahiliyah.

"Apakah dia yang mengikut telunjuk DAP akan masuk syurga, pemimpin Pas juga harus jelaskan adakah umat Islam yang mengundi DAP yang jelas menolak negara Islam akan masuk syurga," katanya. - Utusan

* Jangan jadi ulama jahat, sokong membabi buta Umno...

No comments:

Post a Comment