24 January 2011

DUN Selangor: Badrul Hisham terpaksa duduk di bilik media

SHAH ALAM, 24 Jan. - Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah yang kerusinya diisytiharkan kosong oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Rabu lepas, hari ini dilarang menyertai persidangan khas dewan itu.

Beliau yang tiba pada pukul 9.35 pagi, tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan ketika sidang bermula setengah jam kemudian oleh anggota keselamatan yang memaklumkan kepadanya mereka menerima arahan daripada Speaker Datuk Cheng Chang Khim.

Bagaimanapun, Badrul Hisham dibenarkan memasuki dewan selepas meminta kebenaran untuk menghadiri sidang DUN itu sebagai pemerhati tetapi terpaksa duduk di bilik media setelah mendapati ruang pemerhati penuh.

Beliau meninggalkan bilik media kira-kira 20 minit kemudian.

Pada sidang media di luar dewan selepas itu, Badrul Hisham berkata, beliau masih ADUN Pelabuhan Klang yang sah selagi tidak menerima keputusan rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengarahkan beliau mengosongkan kerusi tersebut. - Bernama

No comments:

Post a Comment