IPOH 17 Dis. - Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak, Hassan Basri Shapie terselamat daripada hukuman penjara 42 bulan setelah Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pembayaran denda berjumlah RM210,000 yang dikenakan Selasa lalu.
Hakim Tan Hooi Leng membuat keputusan itu setelah mengambil kira perkhidmatan tertuduh selama 30 tahun dan kerjasama yang diberikan sepanjang perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya.
Katanya, mahkamah membenarkan Hassan Basri menangguhkan pembayaran denda tersebut sehingga proses rayuannya didengar di Mahkamah Tinggi di sini.
Hooi Leng juga memerintahkan Hassan Basri menandatangani bon jaminan dan hadir bersama seorang penjamin, selain pasport antarabangsanya disimpan oleh mahkamah.
Keluarga Hassan Basri bersetuju melunaskan RM25,000 hari ini sebagai wang pendahuluan daripada denda keseluruhan yang dikenakan.
Mahkamah juga memerintahkan wang jaminan sebelum ini dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000 bagi setiap pertuduhan yang perlu dibayar hari ini.
Hooi Leng membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan peguam Ranjit Singh Sandhu dan Beldip Singh yang memohon mahkamah membenarkan pembayaran denda berjumlah RM210,000 dibayar secara ansuran dalam tempoh satu bulan.
Ranjit dalam permohonannya berkata, Hassan Basri tidak dapat menjelaskan denda dalam tempoh tersebut kerana anak guamnya itu perlu mencagarkan rumah dan tanah untuk mendapatkan wang.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Janariah Abdul Mutalib membantah permohonan itu.
''Perbuatan rasuah itu merupakan kes yang serius dan bukan setakat memberi pengajaran kepada tertuduh tetapi bakal-bakal pesalah rasuah yang lain,'' katanya.
Pada 14 Disember lalu, Hassan Basri dihukum penjara 19 tahun dan denda RM210,000 atau penjara 42 bulan selepas disabitkan terhadap tujuh pertuduhan rasuah oleh Mahkamah Sesyen di sini.
Hassan Basri, 56, yang menjadi hakim syarie pertama didakwa atas tuduhan rasuah hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 10 tahun kerana tiga daripada hukuman tersebut berjalan serentak.
Hooi Leng menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes tersebut.
Hassan Basri menghadapi tujuh pertuduhan rasuah di antara 7 Ogos 2007, 15 Ogos 2007, 17 Ogos 2007 dan 6 September 2007 kerana meminta wang suapan di antara RM1,100 hingga RM20,000 bagi kes jenayah syariah.- Utusan
* Hebat hakim sivil kita, tidak ada yang rasuah...
No comments:
Post a Comment