20 December 2010

Didakwa tipu bank RM100 juta

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Pengarah syarikat pengurusan minyak dan gas, Market Asia Link Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah atas 46 tuduhan menipu sebuah bank berhubung urus niaga minyak bernilai hampir RM100 juta, dua tahun lalu.

Yahya Mohd. Khalid, 53, memohon dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, S. M. Komathy Suppiah.

Lelaki berbaju kemeja hitam itu didakwa menipu pegawai Trade Finance Centre, Affin Bank Berhad, Noraihan Othman, 51, dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa tertuduh memiliki dokumen-dokumen palsu berkaitan penjualan minyak.

Dokumen itu termasuk invois syarikat miliknya dan e-mel pembelian minyak dan gas daripada Syarikat Perkapalan Antarabangsa Malaysia Berhad (MISC Berhad).

Perbuatan tertuduh telah mendorong wanita itu meluluskan 46 permohonan 'Bankers Acceptance' (Penerimaan Bank) dalam transaksi berbeza yang kesemuanya berjumlah RM99,126,848.65.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu melalui pekerja-pekerja di syarikatnya di pejabat Trade Finance Centre Affin Bank Berhad, Tingkat 2, Menara Affin, No. 80, Jalan Raja Chulan, Dang Wangi di sini antara 16 Oktober 2008 hingga 7 November tahun yang sama.

Bagi kesemua tuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Komathy membenarkan tertuduh diikat jamin RM2 juta dengan cagaran RM300,000 oleh dua penjamin. Selain itu, tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.

Kes akan disebut semula pada 17 Januari depan.

* Baru dituduh tetapi perlu membayar duit dan segala macam kesusahan. Adilkah undang-undang begini?

No comments:

Post a Comment