30 November 2010

Zahrain cabar Anwar serah ‘Datuk Seri’ jika terus persoal Ketuanan Melayu

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Mohamed Zahrain Hashim mencabar bekas ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim agar menyerahkan gelaran “Datuk Seri” jika terus-menerus menolak konsep “Ketuanan Melayu”.

Bekas pemimpin PKR itu membuat cabaran atas alasan tindakan Anwar menolak konsep itu bersamaan dengan langkah mempertikaikan Raja-raja Melayu, yang kedaulatannya termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Zahrain (gambar), wakil rakyat Bebas berkata jika Anwar dan orang-orangnya di PKR masih “tebal muka” untuk kekal dengan gelaran masing-masing, beliau akan memohon agar Raja-raja Melayu yang menganugerahkan gelaran dan darjah agar melucutkan.

“Saya merasa janggal mereka (pemimpin-pemimpin PKR) bercakap mengenai isu Ketuanan Melayu, seolah-olah merekalah pemimpin Melayu yang berintegriti,” katanya.

“Saya sudah lama kenal Anwar dan isu Ketuanan Melayu dibawa oleh beliau ketika menjadi timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri sebelum ini,” kata Zahrain kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Kata beliau, konsep Ketuanan Melayu merupakan prinsip asas perjuangan Anwar di peringkat awal kerjaya politiknya dalam kerajaan dan mendakwa Ketua Umum Pakatan Rakyat itu hipokrit kerana sudah tidak lagi berpegang pada ungkapan lamanya.

Zahrain juga mendakwa Anwar telah menikmati manfaat daripada pingat-pingat yang dikurniakan dan juga dalam bentuk-bentuk lain daripada Raja-raja Melayu semasa bersama Barisan Nasional.

“Ketika menjadi Menteri Kewangan, beliau dan banyak kroninya mendapat faedah menggunakan kedudukan sebagai orang Melayu.

“Jadi sekarang adakah mereka rasa kesal atau iri hati kerana tidak lagi dalam kuasa? Adakah mereka sudah mula rasa kalah dan itu sebabnya menimbulkan isu ini?” soal beliau.

Justeru kata Zahrain, Anwar dan kesemua pemimpin PKR harus menunjukkan keikhlasan dalam isu menolak konsep Ketuanan Melayu dengan memulangkan semua pingat dan apa jua gelaran yang diterima kepada Raja-raja Melayu.

Dalam ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR Sabtu lalu, Dr Wan Azizah berkata, konsep Ketuanan Melayu harus “ditinggalkan” kerana ia hanya memperdayakan bangsa Melayu sendiri.

Beliau berkata, konsep tersebut hanya digunakan sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdayakan orang Melayu.

“Ketuanan Melayu adalah slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu yang ramai demi kepentingan diri sendiri.

“Mereka adalah manusia yang melakukan rasuah, korup, pecah amanah dan pelbagai kebejatan lagi. Selama 53 tahun mereka berkuasa, nasib Melayu dan Bumiputera, masih tetap terabai,” katanya.

Menurut Dr Wan Azizah, orang Melayu dan Bumiputera di negara ini sedang mengalami nasib hidup yang sangat menyedihkan.

Bagaimanapun seruan itu didakwa Umno sebagai usaha untuk meraih sokongan bukan Melayu selain cuba mengalih perhatian rakyat daripada masalah dalaman parti itu.

Antaranya, Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata justeru rakyat harus berwaspada dengan strategi terbaru parti pembangkang tersebut yang cuba “menggula-gulakan” anggota bukan Melayunya,

Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) pula menyifatkan Dr Wan Azizah sebagai “kacang lupakan kulit” kerana meminta agar konsep “Ketuanan Melayu” ditolak.

Ketua Pemuda Perkasa Arman Azha Abu Hanifah turut menyifatkan Dr Wan Azizah sebagai “pelacur politik” apabila sanggup menolak konsep tersebut semata-mata mahu meraih simpati dan sokongan daripada orang bukan Melayu.

Bagaimanapun malam tadi pada majlis penutup Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri kerajaan Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Pakatan Rakyat memperluaskan mesej konsep “Ketuanan Rakyat” di kalangan pengundi di negeri-negeri dikuasai perikatan tiga parti itu ekoran serangan Umno mengenai isu itu sejak Sabtu lalu.

Mengambil pendirian isterinya Dr Wan Azizah itu, Ketua Umum Pakatan Rakyat ini mendakwa konsep “Ketuanan Melayu” telah diputarbelitkan oleh beberapa pemimpin elit dari Umno-BN.

“Tanggungjawab negeri-negeri (pimpinan Pakatan Rakyat) ialah untuk menegaskan pendirian dalam soal konep Ketuanan Rakyat,” kata Anwar dalam ucapan penutup Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri kerajaan negeri Pakatan Rakyat di sini malam tadi.

“Ungkapan Ketuanan Melayu telah diputarbelitkan oleh satu kumpulan yang kaya raya dan orang Melayu yang berkuasa. Mereka kaya kerana dasar-dasar pro-Melayu,” katanya.

Dalam ulasan kepada The Malaysian Insider, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz melahirkan pendirian lantangnya dengan menegaskan konsep “Ketuanan Melayu” telah disalah tafsir oleh pihak-pihak tertentu khususnya ahli-ahli politik.

Kata beliau, ungkapan itu yang biasanya digunakan oleh pemimpin-pemimpin sayap kiri Melayu untuk mendesak hak-hak orang Melayu, dicipta untuk melindungi kedaulatan Raja-raja Melayu pada masa-masa lalu.

Justeru tegas Nazri, “Ketuanan Melayu” sama sekali tidak bermaksud orang Melayu adalah lebih unggul berbanding kaum-kaum lain di negara ini.

“Ia bukannya tentang saya sebagai seorang Melayu atau mengenai (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak) sebagai seorang Melayu.” - TheMalaysianInsider

No comments:

Post a Comment