30 November 2010

Dr M: Lupakan keturunan jika ingin 1Malaysia berjaya


Konsep 1Malaysia yang dipelopori oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak hanya akan berjaya jika rakyat membelakangkan bangsa dan keturunan masing-masing dan mengasimilasikan diri menjadi satu, kata mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Katanya, konsep Najib hampir sama dengan prinsip Wawasan 2020 yang diterajuinya dalam percubaan mewujudkan bangsa Malaysia bagi mencapai perpaduan kebangsaan.

"Apabila kita berbicara mengenai perpaduan kebangsaan kita mesti lupakan sejarah kita, keturunan dan menganggap diri kita sebagai rakyat Malaysia. Kita bercakap dalam satu bahasa dan tidak minta keistimewaan hanya kerana kita bumiputerab ataupun bukan bumiputera,” kata Dr Mahathir.

Beliau menjawab soalan daripada hadirin ketika sesi dialog pada forum ketiga dialog Malaysia-Eropah (MEF) di Kuala Lumpur.

Dr Mahathir juga membidas kumpulan yang menyokong 'prinsip 1Malaysia' tetapi masih mempertahankan diri mereka daripada kumpulan yang berasal daripada latar belakang sesuatu keturunan.

"Kita tidak boleh lagi anggap diri kita rakyat Malaysia yang berketurunan Melayu, Cina ataupun India,” katanya sambil menambah jika rakyat boleh melupakan perkara itu, 1Malaysia akan mempunyai pengertian sebenar.

Forum ini menyaksikan Mahathir duduk di pentas yang sama dengan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Tan Sri Rafidah Aziz yang bertindak sebagai moderator sesi dialog.

Rafidah kemudiannya menegaskan bahawa hubungan erat antara beliau denganDr Mahathir tidak pernah terjejas di sebalik percanggahan pendapat mereka berhubung isu Permit Import (AP) lima tahun lalu.

Tidak sehaluan

Rafidah sebaliknya menafikan laporan media yang mengatakan beliau dan Dr Mahathir sudah tidak sehaluan lagi dan beliau masih menghormati tokoh negara itu serta masih menghubunginya seperti biasa untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan.

"Seperti anda boleh lihat, memang (kemesraan) tak pernah luntur atau terjejas. Cuma kita bukan dalam Kabinet dah...tak ada la mesyuarat hari hari.

"Saya dengan Tun masih seperti biasa, saya masih menghubungi beliau, masih ke pejabat beliau, dan masih berjumpa dengan beliau dalam majlis-majlis sebegini," katanya.

Dalam forum ini, Dr Mahathir menyampaikan ucaptama dan turut meluangkan masa menjawab beberapa soalan daripada perwakilan berhubung suasana politik, isu-isu semasa, dan sejarah kecemerlangan beliau semasa menjadi Perdana Menteri.

Pada 2005, Rafidah, yang ketika itu menyandang jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menjadi sasaran kecaman selepas Dr Mahathir membangkitkan isu berkaitan Permit Import kereta yang dikeluarkan kementerian berkenaan.

Rafidah dan Dr Mahathir saling membalas kenyataan berhubung isu kontroversi berkenaan hingga mendorong banyak pihak menyarankan agar Rafidah memohon maaf kepada Dr Mahathir berikutan kenyataan beliau yang mereka anggap mengguris hati bekas Perdana Menteri itu.

Ketika diminta mengulas mengenai forum bertemakan "Menoleh ke Belakang Untuk Mara Ke Hadapan" itu, Rafidah yang juga penaung dan penasihat MEF berkata, program itu diadakan bagi memastikan pihak Malaysia dan Eropah saling memahami dasar yang dibawa masing-masing terutamanya dalam soal pelaburan.

Salah tafsir

Selain Dr Mahathir yang menyampaikan ucaptama, forum berkenaan turut menyaksikan penyampaian kertas kerja oleh Timbalan Ketua Setiausaha MITI, Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria, wakil dari Kedutaan Norway Ashild Kjok, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Biotechnology Corporation Datuk Iskandar Mizal Mahmood, dan Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia Kesatuan Eropah David Jones.

"Tujuan forum ini adalah untuk mempereratkan lagi kaitan ekonomi antara kedua-dua pihak, dan juga untuk menjelaskan kedudukan negara kepada Eropah, kerana kadang-kadang salah tafsir mereka terhadap dasar kita mengakibatkan ketidakcenderungan pelancong untuk melawat, melabur dan menjalankan perniagaan di Malaysia.

"Program sebegini diharap dapat membantu kerajaan memperjelaskan kedudukan Malaysia sebagai negara dinamik di rantau Asia dan Asean di samping menerangkan kepada Eropah tentang dasar-dasar mereka yang menjadi kebimbangan kepada kita," katanya.

Forum itu turut dihadiri 250 pewakilan terdiri daripada ahli perniagaan, pegawai kerajaan, ahli akademik, dan pertubuhan pelajar dari dalam dan luar negara. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment