25 November 2010

Usul bahas 3 lelaki Melayu ditembak mati ditolak

Usul tergempar Dewan Rakyat bagi mendebatkan kes polis menembak mati tiga lelaki berusia antara 15 tahun dan 22 tahun di Glenmarie, Shah Alam ditolak hari.

Usul yang dikemukakan oleh R Sivarasa (PKR-Subang) mengikut Peraturan Dewan 18(1) ditolak oleh Timbalan Speaker, Datuk Wan Junaidi Jaafar di kamarnya.

Sivarasa (kiri, berjaket cerah) menuntut perbahasan diadakan bewrhubung insiden itu yang meragut nyawa Mohd Shamil Hafiz Shapiei, 15, Mohd Hairul Nizam Tuah, 20,dan Mohd Hanafi Omar, 22. Peristiwa itu dikatakan memberikan imej buruk kepada polis.

"Kes ini bukan terpencil kerana apa yang sangat mendukacitakan sejak 1998, tiada seorang anggota polis telah dihukum ke atas kejadian yang berlaku,” katanya.

Menurut Sivarasa, kerajaan perlu menubuhkan badan bebas bagi menyiasat anggota polis yang terlibat dalam kes menembak mati tiga lelaki itu pada kejadian 13 November lalu.

"Sekiranya terus berlanjutan, anggota polis berasa boleh buat apa-apa sahaja tanpa dikenakan sebarang hukuman terhadap mereka," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurut Sivarasa, terdapat percanggahan keterangan maklumat polis tentang kejadian berkenaan yang menjurus kepada tindakan polis mempertahankan diri.

"Ini kerana saya telah meneliti laporan polis oleh Nor Hafizah Mad Razali iaitu ibu kepada Muhammad Shamil Hafiz, 15, dan keluarga Mohd Hairul Nizam, 20, mendakwa tembakan peluru dilakukan pada jarak dekat oleh polis.

"Ibunya juga mempercayai (anaknya) dibunuh dengan sengaja oleh polis kerana tembakan di dahi menembusi hingga ke bahagian kepala Shamil.

"Mereka juga terkejut dengan dakwaan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan tentang anaknya penjenayah ganas yang dikehendakai sedangkan (dia) tidak mempunyai rekod jenayah," katanya.

Pada kejadian itu polis menembak mati tiga lelaki yang didakwa baru sahaja merompak sebuah stesen minyak di Jalan U1/1 Glenmarie, Subang kira-kira jam 4.15 pagi ketika sedang membuat rondaan mencegah jenayah di kawasan berkenaan. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment