25 November 2010

Sekolah Bantuan Kerajaan Diminta Bayar Bil Elektrik, Air Ikut Jadual

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Guru besar di sekolah bantuan kerajaan mesti bersikap bertanggungjawab dengan membayar bil elektrik dan air pada setiap bulan, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata insiden pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yoke Min di Sungai Dalam, Yan dan SJKC Yik Min di Simpang Tiga, Sungai Limau semalam tidak berlaku jika pengurusan sekolah membayar bil elektrik masing-masing mengikut jadual.

"Sebagai seorang guru besar, anda seharusnya bertanggungjawab kepada sekolah dan kebajikan pelajar-pelajar sekolah anda. Sekolah anda mesti diuruskan sama seperti menguruskan rumah anda sendiri," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen Khamis.

Wee berkata demikian ketika mengulas beberapa laporan akhbar Cina semalam yang mendakwa Kementerian Pelajaran tidak memberi peruntukan yang mencukupi kepada sekolah itu.

Katanya, siasatan awal oleh kementerian mendapati bahawa kedua-dua sekolah itu tidak membayar bil elektrik sejak Januari tahun ini.

SJKC Yoke Min berhutang sebanyak RM900 dengan TNB manakala SJKC Yik Min berjumlah RM2,837, katanya.

"Kementerian difahamkan guru besar SJKC Yoke Min sedang bercuti sakit sejak Oktober lepas, dan sekolah itu telah melangsaikan bil tertunggak mereka.

"Bagi kes SJKC Yik Min, saya telah mengarahkan Pengarah Pelajaran Negeri untuk menyiasat perkara ini kerana ia adalah sesuatu yang tidak logik untuk sebuah sekolah kecil mempunyai hutang bil elektrik yang tinggi," katanya.

Wee berkata kementerian akan mengambil tindakan tegas jika berlaku ketidaktelusan dalam akaun sekolah itu.

"Setiap sekolah bantuan kerajaan diperuntukkan elaun tahunan, dan kerajaan tidak mengamalkan diskriminasi apabila menyalurkan bantuan dana kepada sekolah-sekolah bantuan kerajaan, termasuk sekolah rendah Cina, Tamil dan sekolah Agama," katanya.

Beliau berkata walaupun kerajaan menanggung kos elektrik dan air, pihak pengurusan sekolah bantuan kerajaan diminta tidak membazirkan kemudahan utiliti itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment