Seorang perwakilan Kongres PKR mengemukakan soalan bertalu-talu kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berhubung isu yang berkaitan dengan pemilihan parti itu.
Perwakilan Perak Zulkifli Ibrahim (kiri) antaranya mempersoalkan sama ada badan pentadbir pemilihan langsung itu diberi kuasa penuh tanpa diganggu oleh mana-mana pihak.
Ketika membahaskan ucapan dasar presiden, Zulkifli juga mempersoalkan kelayakan Setiausaha Agung Saifuddin Nasution membuat kenyataan berhubung berhubung pemilihan bagi pihak pengerusi JPP Dr Molly Cheah.
"Adakah benar, kadang-kadang pengerusi JPP tidak diberitahu ketika sesuatu pengumuman dibuat di akhbar?
"Adakah kuasa yang diberikan kepada ahli JPP membuat sesuatu keputusan sendiri tanpa merujuk kepada pengerusi dan ahli JPP yang lain, contohnya dalan kes Hulu Selangor?
"Betulkah setiap aduan dan bantahan oleh pengadu disiasat dan atau hanya dibuat keputusan di atas meja semata-mata?" soalnya bertalu-talu sambil disambut tepukan gemuruh perwakilan.
Zulkifli yang juga Ketua PKR cabang Tambun berkata, beliau sendiri sudah tiga kali menghantar bantahan kepada JPP tetapi belum pasti sama ada ia disiasat.
Beliau terus bertanya, sama ada benar JPP tidak cukup tenaga untuk
membuat penyiasatan dan adakah aduan yang belum selesai akan diteruskan siasatan selepas kongres tamat.
Sementara itu, seorang lagi wakil Perak yang berucap tidak lama selepas itu M Thinagaran turut menyentuh perkara yang sama, tetapi dengan nada berbeza.
"Ia (pemilihan) sepatutnya lancar. Saya tak tahu di mana salah dan silap hingga tiba-tiba diseret ke mahkamah bagi mendapatkan (perintah) injunksi," kata Thinagaran.
Mengakui percaya pada ketegasan parti, beliau menegur cara penyampaian maklumat dalam PKR, antaranya penggunanaan istilah yang "elit" dan masalah komunikasi.
"Cuba guna perkataan yang mudah difahami. Perkataan trojan horse (musuh dalam selimut) contohnya, apa itu trojan horse?
"Rakyat tak faham istilah ini. Kita kena perkataan yang biasa untuk menjelaskan apa yang cuba dimaksudkan." - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment