28 November 2010

Calon: Kenapa JPP bebankan saya semula?


Calon timbalan presiden Mustaffa Kamil Ayub masih berharap aduannya terhadap Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) berhubung pemilihan parti terus disiasat dan beban itu tidak dikembalikan kepada pengadu.

Katanya, beliau berharap JPP lebih produktif dalam menyiasat dan menyelesaikan aduan yang diterimanya daripada pelbagai pihak, termasuk dirinya sendiri.

"JPP menerima (aduan) masalah, jangan ambil mudah dan jangan letakkan beban pembuktian kepada pengadu.

"Ia tanggungjawab bersama untuk menyiasat dengan serius dengan dakwaan yang dilakukan," katanya ketika ditemui Malaysiakini di Kongres PKR di Petaling Jaya hari ini.

Sambil memberi contoh tentang rumah yang dimasuki pencuri, Mustaffa Kamil berkata, bukan sahaja pengadu, malah polis juga bertanggungjawab untuk menyiasat mengenai kejadian tersebut.

"Jadi apa kerja polis (kalau pengadu sendiri siasat)?" soalnya yang tewas dengan majoriti besar kepada pesaingnya Azmin Ali dalam perebutan kerusi nombor dua parti itu.

Mustaffa Kamil sebelum ini menghantar memorandum membantah perjalanan pemilihan PKR yang didakwanya berlaku salah tadbir dan salah urus.

Beliau juga berkata akan mengambil tindakan tegas sekiranya tidak dilayan dalam tempoh 48 jam.

'Ada elemen sedih'

Bagaimanapun, selepas tamat masa itu, beliau meneruskan bertanding setelah diberikan beberapa jaminan oleh Pengerusi JPP Dr Molly Cheah.

Setakat ini, Mustaffa Kamil yang sedang menghabiskan hari-hari terakhir sebagai naib presiden PKR itu berkata beliau masih tidak pasti tentang status siasatan ke atas kesnya.

Menurut Mustaffa Kamil, beliau tidak bercadang untuk memberikan kenyataan terbuka di hadapan lebih 1,000 perwakilan dalam kongres hari ini kerana "ia tidak menguntungkan parti".

"Saya fikir ia kurang sesuai dan orang lain (yang) akan mendesak parti untuk menghilangkan keresahan dan rintihan dalam parti....

"Walaupun keputusannya demikian, tetapi ia sentiasa boleh disemak dan mengambil iktibar daripada perjalanan pemilihan PKR ini," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan menerima jawatan naib presiden untuk kuota lantikan sekiranya ditawarkan, Mustaffa Kamil yang juga ketua PKR Perak hanya berkata "akan mempertimbangkannya".

Bekas pemimpin belia itu juga tidak kecewa dengan kekalahannya merebut jawatan nombor dua parti itu, tetapi mengakui "ada elemen sedih dengan apa yang berlaku" dengan pemilihan.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Mustaffa Kamil ketinggalan lebih 11,000 di belakang Azmin. Keputusan rasmi akan diumumkan esok oleh pengerusi persidangan. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment