19 November 2010

Peniaga bebas tuduhan rogol pelajar

KLANG 18 Nov. - Akibat keterangan tidak konsisten diberikan oleh seorang pelajar berusia 15 tahun yang mendakwa dirinya diperkosa lima tahun lalu, seorang peniaga hari ini dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan merogol mangsa.

Selepas mendengar keterangan sembilan saksi termasuk mangsa terbabit, Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Slamat Yahya memutuskan pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd. Anis Tahyin, 25.

Menurut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol mangsa pada pukul 12 tengah hari, 18 Disember 2005 di sebuah rumah di Jalan Meranti Putih 1, Taman Desa Permai, Meru di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Slamat dalam keputusannya berkata, keterangan mangsa tidak boleh dipercayai kerana dalam laporan polis, dia mengatakan dirogol oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

Walhal di mahkamah, pelajar itu menyatakan bahawa dia dirogol oleh teman lelakinya, jelas hakim tersebut.

Laporan perubatan doktor yang dikemukakan pula, ujar Slamat, mendapati ia kesan koyakan lama yang tidak memungkinkan kejadian rogol berlaku pada tarikh yang tertera dalam pertuduhan.

Mohd. Anis diwakili peguam Aminuddin Mohd. Ramli manakala pendakwaan dikendalikan oleh oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syuhada Alwi. - Utusan

No comments:

Post a Comment