19 November 2010

Empat termasuk tiga kakitangan hospital terbunuh

SRI AMAN 18 Nov. - Empat terbunuh manakala seorang lagi cedera parah dalam dua kemalangan berasingan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan lori treler serta sebuah Toyota Vios dan sebuah bas ekspres di sini pagi ini.

Mereka yang terbunuh ialah tiga kakitangan Hospital Sri Aman yang menaiki pacuan empat roda iaitu Wan Malik Wan Oya, 44, dan Abang Morni Abang Sepawi, 52, dari Kampung Hilir Sri Aman serta Harry Kuchoe, 43, dari Serian.

Manakala seorang lagi yang maut ialah Billy Joe Harry, 25, yang menaiki kereta Toyota Vios manakala rakannya, Mohd. Subrie Sulaiman, 25, mengalami cedera parah.

Kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Sri Aman, Inspektor Percubaan Ahmad Fuad Mahmod berkata, kejadian membabitkan tiga kakitangan Hospital Sri Aman yang bertugas sebagai tukang cuci (cleaner) berlaku kira-kira 500 meter berhampiran simpang Bandar Betong pada pukul 10.38 pagi.

Katanya, kejadian itu berlaku di selekoh di kilometer 63 Jalan Sri Aman-Sarikei setelah kenderaan yang dipandu mangsa dari Sri Aman gagal dikawal lalu memasuki lorong bertentangan.

''Kenderaan yang dinaiki mangsa terus bertembung dengan lori trailer yang datang dari arah Sarikei lalu terperosok di bawah lori berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Lubok Antu, Deputi Supritendan Bidol Noyeng berkata, polis masih menyiasat punca kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Vios dan sebuah bas ekspres di kilometer 41 Jalan Sri Aman-Sarikei.

Katanya, mangsa yang terbunuh, Billy Joe dan rakannya difahamkan sedang dalam perjalanan dari Kuching menuju ke Bintulu sebelum bertembung dengan bas ekspres berkenaan.

''Kita percaya, hujan pada awal pagi dipercayai menjadi salah satu faktor yang mengakibatkan kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 9.45 pagi," katanya. - Utusan

* Salahkan hujan pula...

No comments:

Post a Comment